CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, October 23, 2010

Solan-soalan Semantik

SEMANTIK-Peribahasa

Kiasan merupakan satu kumpulan ayat yang mempunyai maksud tertentu khusus kepada sesuatu budaya. Bagi bahasa Melayu, bahasa kiasan terbahagi kepada beberapa pembahagian seperti berikut:-
  1. peribahasa - selalunya dipersembah dalam bentuk ayat yang lengkap.
  2. simpulan bahasa - terdiri daripada dua perkataan
  3. bidalan - dalam bentuk ayat yang abstrak
  4. pepatah - bahasa kiasan yang berasal daripada adat resam yang dipusakai orang Melayu sendiri
  5. perbilangan - diambil dari pengalaman hidup
  6. perumpamaan - juga dipanggil fasa metafora
1. PERIBAHASA
Menurut Za’ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasakiasan dalam budaya Melayu.
Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafal seberapa banyak peribahasa seperti robot.
Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan mengisi buku masing-masing dengan peribahasa moden yang janggal, dengan setiap penerbit menghasilkan peribahasa masing-masing.
Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh sebarang pihak.
Sebagai contoh (ciptaan sendiri):
Seperti tetikus tanpa wayar / Seperti tetikus lepas tambatan.
Penjelasan:Tetikus dahulu terikat kepada komputer dan tidak bebas bergerak. Bagaimanapun, tetikus moden tanpa wayar bebas bergerak tanpa perlu terikat dekat kepada komputer.
Ertinya: Seseorang yang dahulunya terikat kini bebas hendak ke mana-mana sahaja.
Contoh penggunaan: Aminah kini bebas pergi ke disko semenjak dia keluar dari rumah keluarganya dan berpindah di kampung ke bandar, seperti tetikus lepas tambatan.

2. SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Simpulan bahasa digunakan untuk menjelaskan lagi maksud sesuatu pengucapan’ dengan membawa erti yang mendalam. Kandungan maksud simpulan bahasa adalah berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya. Sebagai contoh; ada hati yang bermaksud ada kemahuan, alas perut pula bermaksud makanan yang dimakan sedikit supaya tidak lapar.

3. BIDALAN
Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran.
Contoh bidalan seperti jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong.

4. PEPATAH
Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Sebagai contoh, diam ubi berisi, diam besi berkarat bermaksud orang yang pendiam tetapi berakal itu lebih baik daripada orang yang pendiam tetapi bodoh.

5. PERBILANGAN
Perbilangan Adat
Perbilangan adat, banyak pengertian yang ditafsirkan, antaranya teromba, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Menurut Aripin Said (1996), perbilangan adat adalah sebagai gundalan adat iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat di kalangan mereka yang memakai Adat Pepatih. Secara ringkasnya, perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi (puisi adat) yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang, yang dikenali sebagai ‘Adat Minangkabau’. Di Malaysia perbilangan adat ini, banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu dipergunakan dalam Adat Pepatih. Seperti puisi lain, perbilangan adat diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Menurut Alwi Salim (1983), perbilangan adat ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi melalui ketua-ketua adat lembaga yang disebut ‘Buapak’. Walaupun begitu perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada zaman kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini:
Adat bersendi hukum Hukum bersendi Kitabullah
Kuat hukum, tak gaduhkan adat Ikut hukum, muafakat Ikut adat muafakat
Berdasarkan perbilangan di atas, dapat dikatakan perbilangan tersebut telah mengalami ciri-ciri keislaman. Walaupun terdapat penyesuaian tetapi ciri-ciri masih dipertahankan. Perbilangan adat ini berbentuk bebas, iaitu menggunakan gurindam, syair, pantun dan lain-lain bentuk puisi dalam penyampaiannya.
Kelebihan nabi dengan mukjjizat Kelebihan umat dengan muafakat Bulat air kerana pembetung Bulat manusia dengan muafakat Air melurut dengan bandaraya Benar melurut dengan muafakatnya(Za’ba 1962,242)
Manakala Abdullah Siddik, menyebut perbilangan adat sebagai ‘peribahasa adat’, dinyatakan seperti berikut:
Raja menobat di dalam alam Penghulu menobat di dalam luak Lembaga menobat di dalam lingkungannya Orang banyak menobat di dalam teratak (Abdullah Siddik 1975,110)
Manakala Siti Hawa Haji Salleh (1987), menyatakan perbilangan adat sejenis puisi yang tidak tertentu bentuknya (sama seperti gurindam dan seloka). Manakala Mohd Yusof Md. Nor (1991), telah menyimpulkan ciri-ciri yang terdapat dalam perbilangan adat, antara lain, adalah: 1. Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris 2. Terdapat sisipan berbagai puisi yang lain, misalnya pantun, gurindam, peribahasa dan lain-lain 3. Isinya memuat hal-hal yang berhubungan dengan undang-undang, adat istiadat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.
Perbilangan adat juga mempunyai fungsi kepada masyarakatnya, antaranya ialah untuk membicarakan susun lapis pemerintahan, hubungan keluarga, fungsi dan tugas setiap ahli masyarakat. Perbilangan adat juga untuk menyatakan bahawa setiap orang berguna dalam satu-satu masyarakat. Kesimpulannya fungsi perbilangan adat terhadap masyarakatnya, ialah:

1. Memberi panduan/pendidikan
2. Membentuk /membina masyarakat yang harmoni
3. Satu cara kawalan sosial - dipersetujui bersama
4. Mengekalkan satu norma tertentu dlm masyarakat
5. Mengambarkan corak dan pola hiduop bermasyarakat.
6. Menggambarkan pola pemikiran masyrakat (kepandaian/kebijaksanaan)

Terdapat berbagai jenis perbilangan adat yang berasaskan sistem sosial Minangkau, menurut Mohd Taib Osman (1975), antaranya ialah:

1. Metos dan lejenda, iaitu menyatakan asal-usul adat dan alam Minangkabau. Di bawa oleh dua Datuk bersaudara iaitu Datuk Temenggung dan Datuk Pepatih Nan Sebatang, kedatangan “bangau putih” iaitu orang Minangkabau yang merantau ke Negeri Sembilan dan perhubungan mereka dengan “gagak hitam” iaitu orang asli Negeri Sembilan. Adat ini juga disebut “teromba”’ iaitu lagu asal usul.

2. Kata-kata istiadat, iaitu susunan kata-kata khas untuk istiadat tertentu seperti perlantikan Penghulu, meminang, perkahwinan, pembahagian harta dan sebarang majlis keramaian.

3. Undang-undang, digunakan dalam menguruskan undang-undang jenayah atau hukum pidana adat yang menyatakan jenis-jenis kesalahan, jenis bukti dan hukuman dan juga undang-undang sivil, mengenai pembahagaian harta dan syarat pembahagian harta dan hak.
4. Falsafah, sebahagian besar perbilangan adat termasuk dalam kategori falsafah. Ini kerana kata-kata falsafah ini disisipkan ke jenis lain. Segalanya terjalin ke dalam satu sistem intelek yang menjadi asas kepada seluruh adat Minangkabau.
Berkisarkan tentang konsep dan aspek yang diketengahkan dalam perbilangan adat dinyatakan oleh Alwi Salim (1983), antaranya:
1. Konsep pemerintahan, dalam konsep ini perbilangan adat menyatakan dengan jelas susunan pemerintahan adalah mengikut peringkat-peringkat berikut, iaitu dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi. Ini digambarkan dalam: Raja menobat di dalam alam Penghulu menobat di dalam luak Lembaga menobat di dalam lingkungannya Ibu bapa menobat pada anak buahnya Orang banyak menobat di dalam terataknya
2. Konsep keadilan, perbilangan adat ini tidak didasarkan kepada pembalasan tetapi didasarkan kepada pemulihan (restitution). Diperturunkan kata-kata ini: Yang mencincang, memapas Yang membunuh membangunkan Yang menjual, memberi balas
3. Aspek ekonomi, kata-kata perbilangan disusun indah dan menunjukkan bahawa kehidupan memerlukan ekonomi yang teguh, didengarkan perbilangan ini: Majlis di tepi air Mendesa di perut kenyang

4. Aspek sosial, masyarakat Adat Pepatih melahirkan perbilangan ini adalah mengikut susunan unilateral-matrilineal. Ia merangkumi pemilihan ketua dalam masyarakat, utamakan nisab sebelah ibu, tanggungjawab, hak, pedoman, pegangan dan juga perpaduan. Ini untuk menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai taraf yang sama dan mesti dimuliakan, diperturunkan perbilangan ini: Yang buta penghembus lesung Yang pekak pelepas bedil Yang lumpuh penghuni rumah Yang kuat pembawa beban Yang bingung disuruh-suruh Yang cerdik lawan berunding

5. Aspek adat istiadat, banyak menjurus kepada adat berumahtangga, iaitu dari pertunangan, perkahwinan, penceraian sehingga kepada pembahagian harta.

6. Sistem kewarisan, dalam sistem ini perbilangan adat digunakan untuk pembahagian harta pusaka. Yang mana Buapak dan Datuk Lembaga bertindak sebagai pemegang kuasa. Mengikut Adat Perpatih harta pusaka diperturunkan kepada anak perempuan sahaja dan tanah pusaka tidak dibenarkan dijual atau digadai. Sebagai kesimpulannya, perbilangan adat dapat dikatakan sebagai bentuk puisi klasik yang juga intim dengan kehidupan masyarakat melayu lama. Sehingga kini perbilangan adat ini masih digunakan oleh kelompok masyarakat yang mengamalkan tatacara Adat Perpatih.

6. PERUMPAMAAN
Perumpamaan ialah sejenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan apa-apa yang ada di sekeliling kita. Perumpamaan menggunakan perkataan bagai, laksana, dan seperti. Sebagai contoh;bagai aur dengan tebing yang bermaksud bermuafakat atau tolong-menolong.

Dipetk daripada catatan Nizam Mat Saari

SEMANTIK

Semantik


Pengenalan


1.    Kata merupakan unit ujaran yang bebas dan mempunyai makna.
2.    Dalam bahasa, kata dapat mengungkapkan fikiran, perasaan, pendapat, emosi, perlakuan dan keperibadian manusia.
3.    Perbendaharaan kata penting untuk menjalin komunikasi yang sempurna. Semakin banyak kata dikuasai oleh seseorang, semakin banyak idea atau gagasan yang mampu diungkapkannya.

Makna Kata


1.    Dalam kajian bahasa, bidang yang mengkaji dan menganalisis makna kata dalam ayat dikenal sebagai semantik.
2.    Kajian tentang makna kata boleh dibahagikan kepada aspek-aspek yang berikut :

(a)  makna denotasi dan makna konotasi
(b) makna dalam konteks
(c)  hubungan makna dengan kebudayaan
(d)  perubahan makna
(e)  bentuk-bentuk makna daripada hubungan semantik

3.    Makna denotasi ialah makna kata yang tersurat.

Contoh :   ibu ayam : ayam betina yang mempunyai anak
             Kaki ayam : kaki pada ayam.

4.    Istilah lain untuk makna denotasi ialah makna kamus, dan makna rujukan.
5.    Makna konotasi ialah makna tambahan atau makna tersirat kepada makna denotasi.

Contoh : ibu ayam  : orang yang kerjanya mencari pelanggan untuk pelacur-pelacur.
           Kaki ayam  : kaki yang tidak berkasut.

6.    Makna konotasi juga disebut makna emotif atau makna evaluatif.
7.    Terdapat kata-kata seerti (sinonim) yang mempunyai makna denotasi yang sama tetapi makna konotasi yang berbeza.

Contoh : Kata mati dan meninggal dunia membawa maksud denotasi perstiwa jiwa seseorang meninggal jasadnya tetapi dari segi makna konotasi, penggunaan perkataan meninggal dunia adalah lebih sopan daripada penggunaan perkataan mati.


Makna Dalam Konteks

Makna sesuatu perkataan yang diujarkan boleh diketahui dengan melihat konteks penggunaan perkataan itu.

Contoh :
Tapak kasut sudah haus. (haus bermakna berkurangan tebalnya kerana banyak dipakai)
Saya berasa haus kerana cuaca panas. (haus bermaksud berasa kering tekak atau dahaga).
Kanak-kanak itu haus akan kasih sayang ibunya (haus bermaksud sangat ingin kepada).

Hubungan Makna dengan Kebudayaan


Penggunaan dan pemilihan perkataan juga berhubung dengan kebudayaan sesuatu masyarakat.

Contoh :
aku : digunakan dalam hubungan yang rapat untuk menimbulkan kemesraan.
Saya : digunakan dalam hubungan biasa
Patik:digunakan oleh orang biasa untuk merendah diri apabila berhubung dengan golongan raja.
Beta : khas untuk raja merujuk dirinya.

Perubahan Makna


Makna sesuatu perkataan itu akan berubah mengikut perubahan masa, teknologi dan hubungan sosial dalam masyarakat.

Contoh :
menternak (makna lama : memelihara binatang darat)
                (makna baru: termasuk memelihara hidupan air seperti ikan dan uda

taman (makna lama : tempat indah dengan tumbuhan bunga)
          (makna baru : termasuk kawasan perumahan dan perindustrian)

rawat (makna lama : menjaga orang sakit)
        (makna baru : termasuk memulihkan pokok sakit, barang-barang lama, barang rosak, air kumbahan)

menyeberang (makna lama : dulu hanya untuk menyeberang sungai)
                   (makna baru : termasuk menyeberang jalan, dll)

belayar ( makna lama : pada masa dahulu semua kapal menggunakan layar)
           (makna baru : tidak ada layar pun disebut belayar)

khalwat (makna lama : menyendiri dalam masjid/tempat suci untuk beribadat kepada Allah)
          (makna baru : berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim di tempat sunyi untuk tujuan maksiat.

Tuan (makna lama : untuk lelaki dan perempuan. Contoh Tuan kadi danTuan puteri)
         (makna baru : lelaki sahaja)
                          

Bentuk-Bentuk Makna daripada Hubungan Semantik


1.    Bentuk-bentuk makna yang timbul daripada hubungan semantik ialah sinonim, antonim, hiponim, meronim, polisim, homonim, homofon, dan homograf.
2.    Sinonim merupakan kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama.

Contoh : cantik=indah
             Hangat = panas
             Percaya = yakin

3.    Antonim merujuk kepada perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan.

Contoh : langit lawannya bumi
             Panas lawannya sejuk
             Kuat lawannya lemah

4.    Hiponim ialah kata yang mempunyai lingkungan dalam struktur makna.

Contoh : perabot (mempunyai makna umum)
             Kerusi, meja, almari, katil, sofa (mempunyai makna khusus)

Jadi kata perabot merupakan kata hiponim yang melingkungi benda-benda seperti kerusi, meja, almari, katil dan sofa.

5.    Meronim ialah perkataan-perkataan yang menunjukkan hubungan sebahagian daripada.

Contoh : atap, dinding, lantai, tingkap, dapur ialah sebahagian daripada rumah dan oleh itu perkataan tersebut menjadi meronim kepada rumah.

 
6.    Polisim ialah satu perkataan yang mempunyai makna yang banyak atau satu set makna.

Contoh : kata mentah mempunyai set makna yang berikut :

Masih muda (untuk buah-buahan)
Tidak masak (masakan)
Belum masak (makanan)
Belum diproses (bahan galian dan lain-lain)
Belum sempurna akal atau fikiran atau belum matang (untuk orang)

7.    Homonim ialah dua kata atau lebih yang memiliki bentuk yang sama, sama ada dari segi sebutan, ejaan, atau kedua-duanya tetapi mempunyai makna yang berbeza.

Contoh : daki : kotoran yang melekat pada badan
             Daki : memanjat (gunung, bukit)
            
8.    Homonim terbahagi kepada dua jenis iaitu :

Homofon : kata-kata yang sama sebutannya tetapi berbeza dari segi ejaan dan makna. Contoh : masa dan (media) massa.

Homograf : kata-kata yang sama ejaannya dan mempunyai sebutan yang berbeza. Contoh : semak (belukar), semak (meneliti dan memeriksa semula)
             Perang (war), perang (warna blonde)















SINTAKSIS- Bahagian 2(Ayat Majmuk)

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung gabungan seperti atau, dan, lalu, malahan, sambil serta tetapi bagi, seraya, kecuali, melainkan, manakala, bahkan, kemudian dan kata hubung gabungan lain.
Contoh:
a. Awak boleh memakai kasut putih atau kasut hitam.
- Awak boleh memakai kasut putih.
- Awak boleh memakai kasut hitam.
b. Halim memelihara ikan sepat dan ikan keli.
- Halim memelihara ikan keli.
- Halim memelihara ikan sepat.
c. Ramli menyanyi sambil menari.
- Ramli menyanyi.
- Ramli menari.
2. Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung pancangan seperti agar, bahawa, jika, untuk, ketika, semasa, setelah, semenjak, selagi, selama, supaya, hingga, walaupun...
Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu pancangan relatif, pancangan komplemen dan pancangan keterangan
i)Ayat majmuk pancangan relatif menggunakan kata hubung yang. Contoh:
a. Wanita yang menjadi calon ibu misali itu ibu saya.
- Wanita itu menjadi calon ibu misali.
- Wanita itu ibu saya.
ii) Ayat majmuk pancangan komplemen menggunakan kata hubungan bahawa dan untuk.
a. Perdana Menteri mengumumkan bahawa kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan gaji tidak lama lagi.
b. Tentulah tidak wajar untuk mereka melakukan aktiviti membuli pelajar lain di sekolah.
iii)Ayat majmuk pancangan keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja induk. Ayat-ayat ini terdiri daripada ayat majmuk keterangan musabab, waktu, syarat, cara, tujuan, perbandingan, pertentangan dan akibat.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan musabab:
a. Saya tidak menghadiri majlis perkahwinan itu kerana tidak diundang.
b. Oleh sebab mereka tidak menjelaskan yuran tahunan persatuan, keahlian mereka dalam persatuan itu akan digantung.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan waktu.
a. Guru baru itu melaporkan diri di sekolah itu setelah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri.
b. Sementara menunggu anak saya pulang dari sekolah, saya mengemas rumah.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan syarat:
a. Sekiranya awak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ini saya akan menghadiahi awak sebuah motosikal.
b. Kita akan dapat melaksanakan Program Pendidikan Alam Sekitar ini seandainya kita mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Contoh ayat majmuk keterangan cara:
a. Murid-murid di kawasan pedalaman itu ke sekolah dengan menaiki perahu.
b. Dengan berbekalkan semangat yang tinggi serta usaha yang gigih, Hazreen berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Contoh ayat majmuk keterangan tujuan:
a. Pekerja syarikat itu digesa melipatgandakan usaha mereka untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil kerja.
b. Demi menjaga nama baik dan imej sekolah, semua pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga peringkat daerah itu dinasihati agar mematuhi peraturan pertandingan.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan perbandingan:
a. Sikap pemuda itu yang tidak pandai menghargai pemberian orang lain, samalah ibarat kera mendapat bunga.
b. Suasana kehidupan penduduk desa itu amat harmoni lantaran mereka saling membantu bagaikan aur dengan tebing.
Contoh ayat majmuk keterangan pertentangan:
a. Walaupun malam sudah larut, Faizal masih terus mengulang kaji pelajarannya.
b. Meskipun ayah saya sudah berumur, dia masih ingin menguruskan kebun buah-buahannya.
Contoh ayat majmuk keterangan akibat:
a. Kanak-kanak itu menjerit terlalu kuat hingga hilang suaranya.
b. Pelajar yang cacat penglihatan itu amat gigih dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga dia berjaya.
3.Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat , yakni yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan jenis ayat majmuk dengan menggunakan pelbagai kata hubung. Contoh:
a. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia dengan sifat lemah lembut serta sopan-santun yang tinggi nilainya lagi mulia.
* Ada beberapa jenis ayat kecil yang membentuk ayat majmuk di atas , iaitu:
1. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia.
2. Orang Malaysia memang terkenal dengan sifat lemah lembut.
3. Orang Malaysia memang terkenal dengan sopan santun yang tinggi nilainya lagi mulia.

MORFOLOGI- Bahagian 3

Kata Majmuk
1. Dua atau lebih daripada dua patah dasar dapat digabungkan untuk membentuk satu kata baru yang padu atau sebati maknanya.
2. Kata paduan atau sebatian yang demikian dikenal sebagai kata majmuk.
3. Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai maknanya sendiri-sendiri.
4. Misalnya, wang dan saku yang menjadi komponen kata majmuk wang saku mempunyai maknanya masing-masing. Makna wang saku ialah wang dibawa untuk digunakan apabila diperlukan.
5. Ada juga kata majmuk yang terbentuk daripada dua patah kata yang berbeza tetapi maknanya sama atau hampir-hampir sama. Beberapa contohnya ialah cantik jelita, hancur lebur, dan sunyi sepi.
6. Dua patah kata yang sama atau hampir sama maknanya itu dimaksudkan untuk menyatakan makna kesangatan. Misalnya, cantik jelita bererti sangat cantik, hancur lebur bererti hancur sama sekali, dan sunyi sepi bererti sangat sunyi.
Bentuknya
7. Kata majmuk ada yang dieja tercantum dan ada yang dieja terpisah tetapi tidak ada yang bersempang.
8. Dengan itu, dapatlah dibezakan bentuk kata majmuk daripada bentuk kata ganda yang dieja bersempang kecuali kata ganda separa seperti bebawang, jejari, kekuda, dan sebagainya.
9. Beberapa contoh kata majmuk yang dieja tercantum ialah apabila, bumiputera, daripada, jurumudi, kadangkala, dan walaupun. (rujuk Tatabahasa Dewan, m.s 134)
10.Beberapa contoh kata majmuk yang dieja terpisah ialah air mata, buah pinggang, campur tangan, daun pintu, ganti rugi, dan hak cipta.
11. Dari segi bentuknya, kata majmuk terbahagi kepada beberapa kelas seperti yang berikut:
(a) kata nama majmuk;
(b) kata bilangan majmuk;
(c) kata adjektif majmuk;
(d) kata kerja majmuk;
(e) kata sendi majmuk;
(f) kata keterangan majmuk;
(g) Kata hubung majmuk.
12 Sebahagian besar daripada kata majmuk dalam bahasa Melayu tergolong dalam kelas kata nama.
Contoh kata nama majmuk, antara yang lainlain, ialah air mata, buah mulut, cita rasa, daun telinga, ganti rugi, dan hak cipta.
13. Kata bilangan majmuk, antara yang lain-lain, ialah tiga puluh, dua pertiga, dan dua ratus lima puluh.
14. Kata adjektif majmuk, antara yang lain-lain, ialah aman damai, buta huruf, cantik jelita, gagah perkasa, merah jambu, iri hati, dan kelam kabut.
15. Kata kerja majmuk ada yang bebas, yakni tidak terikat pada sebarang imbuhan.
Contohnya: angkat kaki, buang air, campur tangan, datang bulan, dan gulung tikar.
16. Kata kerja majmuk ada juga yang terikat. Contohnya: mengadu domba, mengambil alih, mengambil berat, menganggap sepi, mengangkat sembah, membalas budi, membanting tulang, mencari gali, bercerai susu, berdiam diri, menyalahgunakan, menembak mati, dan bertungkus lumus.
17. Kata sendi majmuk pula tidak seberapa jumlahnya, iaitu darihal, daripada, kepada, dan sedari.
18. Kata keterangan majmuk, antara yang lainlain, ialah acap kali, boleh jadi, demikian, kadangkala, lambat laun, pertama kali, sambil lalu, dan sekali sekala.
19. Kata hubung majmuk, antara yang lain-lain, ialah apabila, manakala, dan meskipun.
20. Kata majmuk mempunyai dua tugas seperti yang berikut:
 (a) menetapkan kelas kata dasar. Contohnya.
air (kata nama) + mata (kata nama)
air mata (kata nama)
lemah (kata adjektif) + lembut (kata adjektif)
lemah lembut (kata adjektif)
mogok (kata kerja) + duduk (kata kerja)
mogok duduk (kata kerja)
dari (kata sendi) + pada (kata sendi)
daripada (kata sendi)

(b) mengubah kelas kata dasar. Contohnya:
21. Dari segi maknanya, kata majmuk dapat dibahagi kepada dua jenis seperti yang berikut:
(a) kata majmuk wajar;  
(b) kata majmuk kiasan
22. Kata majmuk wajar ialah kata majmuk yang sebenarnya, yang maknanya dapat diketahui daripada makna katakata yang menjadi komponennya.
Misalnya, buah anggur ialah kata majmuk wajar kerana maknanya tidak lain daripada buah yang bernama anggur.
23. Kata majmuk kiasan pula ialah kata majmuk yang maknanya lain daripada makna yang ada pada kata-kata yang menjadi komponennya.
Misalnya buah hati ialah kata majmuk kiasan kerana maknanya tidak kenamengena dengan buah ataupun hati.
Makna buah hati ialah kekasih yang dicintai, bukan buah yang bernama hati.

24.  Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk wajar.
adat istiadat
alih bahasa
bahasa pasar
bakul sampah
batang hidung
cakera padat
cantik jelita
daya cipta
dengki hati
emas putih
esok hari
gagah berani
galah canggah
rendah hati
sabun mandi
sihat akal
gunung api
hancurlebur
harga borong
hitam manis
ikan parang
inti sari
isi perut
juling air
kaca mata
kerak bumi
otak depan
olah raga
pagar duri
pindah tangan
rabun jauh
tahan lasak
kongsi gelap
lampu duduk
lipat ganda
lubang hidung
mabuk taut
merah jambu
minyak makan
naik takhta
nenek moyang
orang gaji
tuan rumah
udang galah
uji kaji
wang saku
warta berita
zat air
24.        Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk kiasan.
akal kancil
anak angkat
anak baju
anak emas
anak kunci
batu loncatan
banyak mulut
buah mulut
bulan madu
cahaya mata
cakap angin
campur tangan
cekak musang
dapur susu
mata hari
naik darah
nyawa ikan
otak udang
tangan besi
timbang rasa
darah daging
datang bulan
daun pintu
emas kahwin
embun jantan
filem bisu
gaji buta
gantung kemudi
gatal mulut
gunung payung
habis akal
lalat hijau
lebar mulut
lemah semangat
lepas tangan
main angin
malam buta
sampai hati
tali barut
tanah air
hajat besar
harga diri
ibu ayam
isi hati
jalan bahasa
jauh hati
kaki tangan
karat hati
kata dua
kecil hati
kereta api
papas hati
panjang tangan
pasar gelap
patah hati
rendah hati
sagu hati
sakit hati
tumbuk rusuk