CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, October 23, 2010

SEMANTIK-Peribahasa

Kiasan merupakan satu kumpulan ayat yang mempunyai maksud tertentu khusus kepada sesuatu budaya. Bagi bahasa Melayu, bahasa kiasan terbahagi kepada beberapa pembahagian seperti berikut:-
  1. peribahasa - selalunya dipersembah dalam bentuk ayat yang lengkap.
  2. simpulan bahasa - terdiri daripada dua perkataan
  3. bidalan - dalam bentuk ayat yang abstrak
  4. pepatah - bahasa kiasan yang berasal daripada adat resam yang dipusakai orang Melayu sendiri
  5. perbilangan - diambil dari pengalaman hidup
  6. perumpamaan - juga dipanggil fasa metafora
1. PERIBAHASA
Menurut Za’ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasakiasan dalam budaya Melayu.
Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafal seberapa banyak peribahasa seperti robot.
Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan mengisi buku masing-masing dengan peribahasa moden yang janggal, dengan setiap penerbit menghasilkan peribahasa masing-masing.
Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh sebarang pihak.
Sebagai contoh (ciptaan sendiri):
Seperti tetikus tanpa wayar / Seperti tetikus lepas tambatan.
Penjelasan:Tetikus dahulu terikat kepada komputer dan tidak bebas bergerak. Bagaimanapun, tetikus moden tanpa wayar bebas bergerak tanpa perlu terikat dekat kepada komputer.
Ertinya: Seseorang yang dahulunya terikat kini bebas hendak ke mana-mana sahaja.
Contoh penggunaan: Aminah kini bebas pergi ke disko semenjak dia keluar dari rumah keluarganya dan berpindah di kampung ke bandar, seperti tetikus lepas tambatan.

2. SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Simpulan bahasa digunakan untuk menjelaskan lagi maksud sesuatu pengucapan’ dengan membawa erti yang mendalam. Kandungan maksud simpulan bahasa adalah berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya. Sebagai contoh; ada hati yang bermaksud ada kemahuan, alas perut pula bermaksud makanan yang dimakan sedikit supaya tidak lapar.

3. BIDALAN
Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran.
Contoh bidalan seperti jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong.

4. PEPATAH
Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Sebagai contoh, diam ubi berisi, diam besi berkarat bermaksud orang yang pendiam tetapi berakal itu lebih baik daripada orang yang pendiam tetapi bodoh.

5. PERBILANGAN
Perbilangan Adat
Perbilangan adat, banyak pengertian yang ditafsirkan, antaranya teromba, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Menurut Aripin Said (1996), perbilangan adat adalah sebagai gundalan adat iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat di kalangan mereka yang memakai Adat Pepatih. Secara ringkasnya, perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi (puisi adat) yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang, yang dikenali sebagai ‘Adat Minangkabau’. Di Malaysia perbilangan adat ini, banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu dipergunakan dalam Adat Pepatih. Seperti puisi lain, perbilangan adat diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Menurut Alwi Salim (1983), perbilangan adat ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi melalui ketua-ketua adat lembaga yang disebut ‘Buapak’. Walaupun begitu perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada zaman kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini:
Adat bersendi hukum Hukum bersendi Kitabullah
Kuat hukum, tak gaduhkan adat Ikut hukum, muafakat Ikut adat muafakat
Berdasarkan perbilangan di atas, dapat dikatakan perbilangan tersebut telah mengalami ciri-ciri keislaman. Walaupun terdapat penyesuaian tetapi ciri-ciri masih dipertahankan. Perbilangan adat ini berbentuk bebas, iaitu menggunakan gurindam, syair, pantun dan lain-lain bentuk puisi dalam penyampaiannya.
Kelebihan nabi dengan mukjjizat Kelebihan umat dengan muafakat Bulat air kerana pembetung Bulat manusia dengan muafakat Air melurut dengan bandaraya Benar melurut dengan muafakatnya(Za’ba 1962,242)
Manakala Abdullah Siddik, menyebut perbilangan adat sebagai ‘peribahasa adat’, dinyatakan seperti berikut:
Raja menobat di dalam alam Penghulu menobat di dalam luak Lembaga menobat di dalam lingkungannya Orang banyak menobat di dalam teratak (Abdullah Siddik 1975,110)
Manakala Siti Hawa Haji Salleh (1987), menyatakan perbilangan adat sejenis puisi yang tidak tertentu bentuknya (sama seperti gurindam dan seloka). Manakala Mohd Yusof Md. Nor (1991), telah menyimpulkan ciri-ciri yang terdapat dalam perbilangan adat, antara lain, adalah: 1. Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris 2. Terdapat sisipan berbagai puisi yang lain, misalnya pantun, gurindam, peribahasa dan lain-lain 3. Isinya memuat hal-hal yang berhubungan dengan undang-undang, adat istiadat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.
Perbilangan adat juga mempunyai fungsi kepada masyarakatnya, antaranya ialah untuk membicarakan susun lapis pemerintahan, hubungan keluarga, fungsi dan tugas setiap ahli masyarakat. Perbilangan adat juga untuk menyatakan bahawa setiap orang berguna dalam satu-satu masyarakat. Kesimpulannya fungsi perbilangan adat terhadap masyarakatnya, ialah:

1. Memberi panduan/pendidikan
2. Membentuk /membina masyarakat yang harmoni
3. Satu cara kawalan sosial - dipersetujui bersama
4. Mengekalkan satu norma tertentu dlm masyarakat
5. Mengambarkan corak dan pola hiduop bermasyarakat.
6. Menggambarkan pola pemikiran masyrakat (kepandaian/kebijaksanaan)

Terdapat berbagai jenis perbilangan adat yang berasaskan sistem sosial Minangkau, menurut Mohd Taib Osman (1975), antaranya ialah:

1. Metos dan lejenda, iaitu menyatakan asal-usul adat dan alam Minangkabau. Di bawa oleh dua Datuk bersaudara iaitu Datuk Temenggung dan Datuk Pepatih Nan Sebatang, kedatangan “bangau putih” iaitu orang Minangkabau yang merantau ke Negeri Sembilan dan perhubungan mereka dengan “gagak hitam” iaitu orang asli Negeri Sembilan. Adat ini juga disebut “teromba”’ iaitu lagu asal usul.

2. Kata-kata istiadat, iaitu susunan kata-kata khas untuk istiadat tertentu seperti perlantikan Penghulu, meminang, perkahwinan, pembahagian harta dan sebarang majlis keramaian.

3. Undang-undang, digunakan dalam menguruskan undang-undang jenayah atau hukum pidana adat yang menyatakan jenis-jenis kesalahan, jenis bukti dan hukuman dan juga undang-undang sivil, mengenai pembahagaian harta dan syarat pembahagian harta dan hak.
4. Falsafah, sebahagian besar perbilangan adat termasuk dalam kategori falsafah. Ini kerana kata-kata falsafah ini disisipkan ke jenis lain. Segalanya terjalin ke dalam satu sistem intelek yang menjadi asas kepada seluruh adat Minangkabau.
Berkisarkan tentang konsep dan aspek yang diketengahkan dalam perbilangan adat dinyatakan oleh Alwi Salim (1983), antaranya:
1. Konsep pemerintahan, dalam konsep ini perbilangan adat menyatakan dengan jelas susunan pemerintahan adalah mengikut peringkat-peringkat berikut, iaitu dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi. Ini digambarkan dalam: Raja menobat di dalam alam Penghulu menobat di dalam luak Lembaga menobat di dalam lingkungannya Ibu bapa menobat pada anak buahnya Orang banyak menobat di dalam terataknya
2. Konsep keadilan, perbilangan adat ini tidak didasarkan kepada pembalasan tetapi didasarkan kepada pemulihan (restitution). Diperturunkan kata-kata ini: Yang mencincang, memapas Yang membunuh membangunkan Yang menjual, memberi balas
3. Aspek ekonomi, kata-kata perbilangan disusun indah dan menunjukkan bahawa kehidupan memerlukan ekonomi yang teguh, didengarkan perbilangan ini: Majlis di tepi air Mendesa di perut kenyang

4. Aspek sosial, masyarakat Adat Pepatih melahirkan perbilangan ini adalah mengikut susunan unilateral-matrilineal. Ia merangkumi pemilihan ketua dalam masyarakat, utamakan nisab sebelah ibu, tanggungjawab, hak, pedoman, pegangan dan juga perpaduan. Ini untuk menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai taraf yang sama dan mesti dimuliakan, diperturunkan perbilangan ini: Yang buta penghembus lesung Yang pekak pelepas bedil Yang lumpuh penghuni rumah Yang kuat pembawa beban Yang bingung disuruh-suruh Yang cerdik lawan berunding

5. Aspek adat istiadat, banyak menjurus kepada adat berumahtangga, iaitu dari pertunangan, perkahwinan, penceraian sehingga kepada pembahagian harta.

6. Sistem kewarisan, dalam sistem ini perbilangan adat digunakan untuk pembahagian harta pusaka. Yang mana Buapak dan Datuk Lembaga bertindak sebagai pemegang kuasa. Mengikut Adat Perpatih harta pusaka diperturunkan kepada anak perempuan sahaja dan tanah pusaka tidak dibenarkan dijual atau digadai. Sebagai kesimpulannya, perbilangan adat dapat dikatakan sebagai bentuk puisi klasik yang juga intim dengan kehidupan masyarakat melayu lama. Sehingga kini perbilangan adat ini masih digunakan oleh kelompok masyarakat yang mengamalkan tatacara Adat Perpatih.

6. PERUMPAMAAN
Perumpamaan ialah sejenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan apa-apa yang ada di sekeliling kita. Perumpamaan menggunakan perkataan bagai, laksana, dan seperti. Sebagai contoh;bagai aur dengan tebing yang bermaksud bermuafakat atau tolong-menolong.

Dipetk daripada catatan Nizam Mat Saari

No comments:

Post a Comment