CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, October 23, 2010

SEMANTIK

Semantik


Pengenalan


1.    Kata merupakan unit ujaran yang bebas dan mempunyai makna.
2.    Dalam bahasa, kata dapat mengungkapkan fikiran, perasaan, pendapat, emosi, perlakuan dan keperibadian manusia.
3.    Perbendaharaan kata penting untuk menjalin komunikasi yang sempurna. Semakin banyak kata dikuasai oleh seseorang, semakin banyak idea atau gagasan yang mampu diungkapkannya.

Makna Kata


1.    Dalam kajian bahasa, bidang yang mengkaji dan menganalisis makna kata dalam ayat dikenal sebagai semantik.
2.    Kajian tentang makna kata boleh dibahagikan kepada aspek-aspek yang berikut :

(a)  makna denotasi dan makna konotasi
(b) makna dalam konteks
(c)  hubungan makna dengan kebudayaan
(d)  perubahan makna
(e)  bentuk-bentuk makna daripada hubungan semantik

3.    Makna denotasi ialah makna kata yang tersurat.

Contoh :   ibu ayam : ayam betina yang mempunyai anak
             Kaki ayam : kaki pada ayam.

4.    Istilah lain untuk makna denotasi ialah makna kamus, dan makna rujukan.
5.    Makna konotasi ialah makna tambahan atau makna tersirat kepada makna denotasi.

Contoh : ibu ayam  : orang yang kerjanya mencari pelanggan untuk pelacur-pelacur.
           Kaki ayam  : kaki yang tidak berkasut.

6.    Makna konotasi juga disebut makna emotif atau makna evaluatif.
7.    Terdapat kata-kata seerti (sinonim) yang mempunyai makna denotasi yang sama tetapi makna konotasi yang berbeza.

Contoh : Kata mati dan meninggal dunia membawa maksud denotasi perstiwa jiwa seseorang meninggal jasadnya tetapi dari segi makna konotasi, penggunaan perkataan meninggal dunia adalah lebih sopan daripada penggunaan perkataan mati.


Makna Dalam Konteks

Makna sesuatu perkataan yang diujarkan boleh diketahui dengan melihat konteks penggunaan perkataan itu.

Contoh :
Tapak kasut sudah haus. (haus bermakna berkurangan tebalnya kerana banyak dipakai)
Saya berasa haus kerana cuaca panas. (haus bermaksud berasa kering tekak atau dahaga).
Kanak-kanak itu haus akan kasih sayang ibunya (haus bermaksud sangat ingin kepada).

Hubungan Makna dengan Kebudayaan


Penggunaan dan pemilihan perkataan juga berhubung dengan kebudayaan sesuatu masyarakat.

Contoh :
aku : digunakan dalam hubungan yang rapat untuk menimbulkan kemesraan.
Saya : digunakan dalam hubungan biasa
Patik:digunakan oleh orang biasa untuk merendah diri apabila berhubung dengan golongan raja.
Beta : khas untuk raja merujuk dirinya.

Perubahan Makna


Makna sesuatu perkataan itu akan berubah mengikut perubahan masa, teknologi dan hubungan sosial dalam masyarakat.

Contoh :
menternak (makna lama : memelihara binatang darat)
                (makna baru: termasuk memelihara hidupan air seperti ikan dan uda

taman (makna lama : tempat indah dengan tumbuhan bunga)
          (makna baru : termasuk kawasan perumahan dan perindustrian)

rawat (makna lama : menjaga orang sakit)
        (makna baru : termasuk memulihkan pokok sakit, barang-barang lama, barang rosak, air kumbahan)

menyeberang (makna lama : dulu hanya untuk menyeberang sungai)
                   (makna baru : termasuk menyeberang jalan, dll)

belayar ( makna lama : pada masa dahulu semua kapal menggunakan layar)
           (makna baru : tidak ada layar pun disebut belayar)

khalwat (makna lama : menyendiri dalam masjid/tempat suci untuk beribadat kepada Allah)
          (makna baru : berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim di tempat sunyi untuk tujuan maksiat.

Tuan (makna lama : untuk lelaki dan perempuan. Contoh Tuan kadi danTuan puteri)
         (makna baru : lelaki sahaja)
                          

Bentuk-Bentuk Makna daripada Hubungan Semantik


1.    Bentuk-bentuk makna yang timbul daripada hubungan semantik ialah sinonim, antonim, hiponim, meronim, polisim, homonim, homofon, dan homograf.
2.    Sinonim merupakan kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama.

Contoh : cantik=indah
             Hangat = panas
             Percaya = yakin

3.    Antonim merujuk kepada perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan.

Contoh : langit lawannya bumi
             Panas lawannya sejuk
             Kuat lawannya lemah

4.    Hiponim ialah kata yang mempunyai lingkungan dalam struktur makna.

Contoh : perabot (mempunyai makna umum)
             Kerusi, meja, almari, katil, sofa (mempunyai makna khusus)

Jadi kata perabot merupakan kata hiponim yang melingkungi benda-benda seperti kerusi, meja, almari, katil dan sofa.

5.    Meronim ialah perkataan-perkataan yang menunjukkan hubungan sebahagian daripada.

Contoh : atap, dinding, lantai, tingkap, dapur ialah sebahagian daripada rumah dan oleh itu perkataan tersebut menjadi meronim kepada rumah.

 
6.    Polisim ialah satu perkataan yang mempunyai makna yang banyak atau satu set makna.

Contoh : kata mentah mempunyai set makna yang berikut :

Masih muda (untuk buah-buahan)
Tidak masak (masakan)
Belum masak (makanan)
Belum diproses (bahan galian dan lain-lain)
Belum sempurna akal atau fikiran atau belum matang (untuk orang)

7.    Homonim ialah dua kata atau lebih yang memiliki bentuk yang sama, sama ada dari segi sebutan, ejaan, atau kedua-duanya tetapi mempunyai makna yang berbeza.

Contoh : daki : kotoran yang melekat pada badan
             Daki : memanjat (gunung, bukit)
            
8.    Homonim terbahagi kepada dua jenis iaitu :

Homofon : kata-kata yang sama sebutannya tetapi berbeza dari segi ejaan dan makna. Contoh : masa dan (media) massa.

Homograf : kata-kata yang sama ejaannya dan mempunyai sebutan yang berbeza. Contoh : semak (belukar), semak (meneliti dan memeriksa semula)
             Perang (war), perang (warna blonde)















No comments:

Post a Comment