CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, October 23, 2010

SINTAKSIS- Bahagian 2(Ayat Majmuk)

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung gabungan seperti atau, dan, lalu, malahan, sambil serta tetapi bagi, seraya, kecuali, melainkan, manakala, bahkan, kemudian dan kata hubung gabungan lain.
Contoh:
a. Awak boleh memakai kasut putih atau kasut hitam.
- Awak boleh memakai kasut putih.
- Awak boleh memakai kasut hitam.
b. Halim memelihara ikan sepat dan ikan keli.
- Halim memelihara ikan keli.
- Halim memelihara ikan sepat.
c. Ramli menyanyi sambil menari.
- Ramli menyanyi.
- Ramli menari.
2. Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung pancangan seperti agar, bahawa, jika, untuk, ketika, semasa, setelah, semenjak, selagi, selama, supaya, hingga, walaupun...
Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu pancangan relatif, pancangan komplemen dan pancangan keterangan
i)Ayat majmuk pancangan relatif menggunakan kata hubung yang. Contoh:
a. Wanita yang menjadi calon ibu misali itu ibu saya.
- Wanita itu menjadi calon ibu misali.
- Wanita itu ibu saya.
ii) Ayat majmuk pancangan komplemen menggunakan kata hubungan bahawa dan untuk.
a. Perdana Menteri mengumumkan bahawa kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan gaji tidak lama lagi.
b. Tentulah tidak wajar untuk mereka melakukan aktiviti membuli pelajar lain di sekolah.
iii)Ayat majmuk pancangan keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja induk. Ayat-ayat ini terdiri daripada ayat majmuk keterangan musabab, waktu, syarat, cara, tujuan, perbandingan, pertentangan dan akibat.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan musabab:
a. Saya tidak menghadiri majlis perkahwinan itu kerana tidak diundang.
b. Oleh sebab mereka tidak menjelaskan yuran tahunan persatuan, keahlian mereka dalam persatuan itu akan digantung.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan waktu.
a. Guru baru itu melaporkan diri di sekolah itu setelah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri.
b. Sementara menunggu anak saya pulang dari sekolah, saya mengemas rumah.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan syarat:
a. Sekiranya awak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ini saya akan menghadiahi awak sebuah motosikal.
b. Kita akan dapat melaksanakan Program Pendidikan Alam Sekitar ini seandainya kita mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Contoh ayat majmuk keterangan cara:
a. Murid-murid di kawasan pedalaman itu ke sekolah dengan menaiki perahu.
b. Dengan berbekalkan semangat yang tinggi serta usaha yang gigih, Hazreen berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Contoh ayat majmuk keterangan tujuan:
a. Pekerja syarikat itu digesa melipatgandakan usaha mereka untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil kerja.
b. Demi menjaga nama baik dan imej sekolah, semua pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga peringkat daerah itu dinasihati agar mematuhi peraturan pertandingan.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan perbandingan:
a. Sikap pemuda itu yang tidak pandai menghargai pemberian orang lain, samalah ibarat kera mendapat bunga.
b. Suasana kehidupan penduduk desa itu amat harmoni lantaran mereka saling membantu bagaikan aur dengan tebing.
Contoh ayat majmuk keterangan pertentangan:
a. Walaupun malam sudah larut, Faizal masih terus mengulang kaji pelajarannya.
b. Meskipun ayah saya sudah berumur, dia masih ingin menguruskan kebun buah-buahannya.
Contoh ayat majmuk keterangan akibat:
a. Kanak-kanak itu menjerit terlalu kuat hingga hilang suaranya.
b. Pelajar yang cacat penglihatan itu amat gigih dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga dia berjaya.
3.Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat , yakni yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan jenis ayat majmuk dengan menggunakan pelbagai kata hubung. Contoh:
a. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia dengan sifat lemah lembut serta sopan-santun yang tinggi nilainya lagi mulia.
* Ada beberapa jenis ayat kecil yang membentuk ayat majmuk di atas , iaitu:
1. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia.
2. Orang Malaysia memang terkenal dengan sifat lemah lembut.
3. Orang Malaysia memang terkenal dengan sopan santun yang tinggi nilainya lagi mulia.

1 comment: