CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, October 11, 2010

FONOLOGI - PENGENALAN - (SIRI 1)

Definisi Fonologi

Fonologi ialah kajian mengenai pola bunyi bahasa, iaitu kajian mengenai bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa.

Alat-alat sebutan

Bunyi bahasa dikeluarkan oleh alat-alat sebutan seperti berikut:

Bibir
Gigi
Gusi Lelangit keras
Lelangit lembut
Anak tekak
Lidah
Rongga tekak
Rongga mulut
Rongga hidung
Paru-paru
Peti suara dan pita suara


Alat-alat sebutan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

(a) pengeluar (artikulator) - alat yang dapat digerak-gerakkan dengan bebas dan dapat diletakkan di beberapa kedudukan.
Contoh: hujung lidah, bibir lelangit lembut dan sebagainya.
(b) daerah pengeluar (artikulasi) - merupakan tempat-tempat yang dapat dicapai olah artikulator.Contoh: gigi atas, gusi dan lelangit keras.

Penggolongan Bunyi Bahasa Melayu

Umumnya, dalam bahasa Melayu, terdapat tiga golongan bunyi iaitu vokal, konsonan dan diftong.

Vokal
Bunyi yang dihasilkan tanpa gangguan dalam rongga mulut.
Udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut dengan tidak tersekat atau terhimpit.
Bunyi itu hanya dipengaruhi oleh keadaan lidah dan bentuk bibir.

Konsonan
Bunyi yang dihasilkan dengan gangguan oleh alat-alat sebutan sehingga jalan aliran udara dari paru-paru terganggu, dengan cara disekat atau dihalang dan udara keluar melalui ronga mulut atau rongga hidung.

Diftong
Merupakan bunyi geluncuran, iaitu bunyi yang bermula daripada satu vokal dan beralih kepada bunyi vokal yang lain.

Contohnya bunyi [ai] bermula daripada bunyi vokal depan luas [a] dan kemudian meluncur kepada bunyi vokal depan sempit [i].

Fonem
Fonem ialah unit bahasa terkecil yang berfungsi.
Satu unit ujaran yang bermakna, atau perkataan, terdiri daripada beberapa unit bunyi, misalnya kata palu.
Kata ini terdiri daripada empat unit bunyi, iaitu p, a, l, u.
Unit-unit bunyi ini dipanggil fonem, iaitu unit terkecil yang berfungsi.
Jika p diganti dengan m, maka palu akan bertukar menjadi malu.
Oleh itu, p dan m adalah unit terkecil yang berfungsi kerana unit itu membezakan maksud ujaran.

Alofon
Fonem terdiri daripada anggota fonem yang dipanggil alofon.
Misalnya fonem p dalam palu, lupa dan luap.
Bunyi p dalam palu dan lupa diujarkan sebagai letupan bibir yang sempurna , tetapi dalam luap, bunyi p diujarkan sebagai letupan bibir yang tidak sempurna, yakni tidak diletupkan.
Dengan itu, daripada ketiga-tiga contoh kata di atas, fonem p mempunyai dua alofon.

Suku Kata
Suku kata ialah bahagian perkataan yang berasaskan kehadiran vokal. Suku kata ditandai oleh suatu vokal  atau hadir  bersama-sama dengan konsonan.

Dalam bahasa Melayu suku kata yang berakhir dengan vokal dipanggil suku kata terbuka. Contoh ; Mata = KV+KV

Suku  kata tertutup pula   diakhiri dengan konsonan.  Contoh suku kata tertutup ialah   Mantap = KVK + KVK.

No comments:

Post a Comment