CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, November 12, 2010

KELEMAHAN DALAM PEMBINAAN KARANGAN


Kesilapan  yang kerap dilakukan pelajar semasa menulis karangan seperti berikut :

1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana
   
    Namun, Tetapi, Malah, Manakala,  Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)…..manakala……, ……malah…. (sepatutnya ditulis  di tengah ayat atau untuk menghubungkan dua ayat)


2. Ayat tergantung kerana ketidaan subjek

( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat.
Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di tengah ayat)

 Ini menunjukkan….. sepatutnya, Hal/ Perkara ini menunjukkan……


Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…


3. Kesalahan ejaan
bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.

4. Kesalahan imbuhan (Kata kerja Transitif)untuk kata yang mengandungi dua objek
  memberi kasih sayang kepada anak…… sepatutnya memberikan kasih sayang.kepada anak Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.

5. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …
    mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…


6. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama. Contohnya, Sungai yang terpanjang adalah sungai Rajang. Sepatutnya,...ialah sungai... Hadiah ini ialah untuk... seaptutnya ...hadiah ini adalah untuk...

7. Kata kerja tidak menerima  atau tidak boleh didahului oleh kata pemeri. Anda perlu menambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah  menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)

8. Bentuk lewah . Kata jamak sudah menunjukkan banyak ,jadi perkataan seterusnya tidak lagi perlu digandakan kerana penggandaan juga menunjukkan banyak. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah
Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini sahaja kerana perkataan kini sudah membawa maksud pada masa ini.
9.  Kata adjektif tidak boleh menerima tiga apitan serentak . Hanya dua imbuhan sahaja perlu digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik , memperbesarkan....sepatutnya membesarkan  atau perbesarkan

10. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain aktiviti . Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain.

11. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan secara besar-besaran……


12. Kesilapan penggunaan kata sendi nama di   dan dalamdi kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah, mankala dalam untuk menyatakan sesuatu yang bersifat abstrak.
13. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya … Selain itu,…

14. Kesilapan penggunaan kata sendi nama oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…

15. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.
Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).

16. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.

17. Kesilapan penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. Sepatutnya “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu, sebaliknya hanya berfungsi untuk menguatkan hujah atau kenyataan isi atau ayat sebelumnya.

18. Kesilapan penggunaan ayat pasif bagi kata ganti nama diri pertama dan kedua. Contoh: Tindakan segera harus diambil oleh kita... Sepatutnya Tindakan segera harus kita ambil.

19. Kesilapan penggunakan ayat pasif bagi kata ganti nama diri ketiga. Contoh: Tindakan  drastik harus kerajaan ambil.. Sepatutnya Tindakan drastik harus diambil oleh kerajaan...


20. Masih terdapat pelajar yang tidak dapat membezakan antara kata depan  atau kata sendi nama dan kata kerja. Contoh: diatas, disana, disini . Penulisan kata depan atau kata sendi nama sepatutnya dijarakkan seperti di atas, di sana  , di sini. Sementara itu , kata kerja pula ditulis secara terpisah seperti di gerakkan, di tempatkan... Sepatutnya ditulis serangkai seperti ...digerakkan... ditempatkan.

No comments:

Post a Comment