CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, November 14, 2010

Isu Pilihan-Penderaan Kanak-Kanak

PENDERAAN KANAK-KANAK

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris bagi sesebuah keluarga. Dengan kehadiran anak-anak,  akan bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin tersebut. Mereka juga sebagai penghibur  dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namu begitu, akhir-akhir ini kita telah mendengar pelbagai kes penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan  dalam akhbar dan  menerusi televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana  antara pendera  itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa itu sendiri.

Sesungguhnya terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang suka merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa.  Ibu bapa yang tidak sabar dengan karenah anak-anak  mungkin akan memarahi , memukul, dan ada yang sanggup menyepak,  serta menerajang akibat terlalu geram dengan tingkah laku ana-anak mereka .Ibu bapa yang berperwatakan seperti itu sebenarnya hany mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab.

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri  atau sesebuah institusi keluarga itu. Masalah tersebut akan menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan  terhadap anak-anak akibat tekanan yang dihadapi. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang ibu bapa. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak. Fikirkanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah, sekurang-kurangnya carilah pakar kaunseling atau orang yang dipercayai  untuk mendapat khidmat nasihat  agar masalah  yang dihadapi dapat  diatasi dengan cara yang lebih matang.

Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka akibat krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru. Walaupun anak-anak hanya melakukann kesalahan atau kesilapan yang kecil mereka dimarahi dan dipukul oleh si ayah yang sedang mabuk kepayang dengan perempuan lainb. Akibatnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan. Dalam situasi yang lain pula, ibu bapa yang telah bercerai, memukul dan mendera anaknya sendiri gara-gara wajah si anak seiras dengan wajah bekas suaminya atau isterinya . Semua fenomena ini terjadi kerana ibu dan bapa yang menghadapi  krisis dalam rumah tangga gagal mengawal emosi masing-masing.

Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama dalam  kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting  dalam  sesebuah rumah tangga kerana agama  boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada pendekatan yang digariskan oleh agama. Agama  Islam contohnya, telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti menguasai tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. Dalam kitab AI-Quran juga telah menjelaskan  bahawa azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti  tanggungjawab terhadap anak-anak  merupakan amanah Allah kepada kita yang wajib dijalankan dengan sempurna.

Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Dalam  hal ini media massa seperti  televisyen, dan akhbar  perlu memberikan kerjasama untuk menjayakan kempen ini. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.

Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mendera kanak-kanak. Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang  yang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal  dihadapi  akibat perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu.Pihak-pihakyang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi. 
Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment