CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Showing posts with label Bab 13- Sintaksis. Show all posts
Showing posts with label Bab 13- Sintaksis. Show all posts

Saturday, October 23, 2010

SEMANTIK-Peribahasa

Kiasan merupakan satu kumpulan ayat yang mempunyai maksud tertentu khusus kepada sesuatu budaya. Bagi bahasa Melayu, bahasa kiasan terbahagi kepada beberapa pembahagian seperti berikut:-
  1. peribahasa - selalunya dipersembah dalam bentuk ayat yang lengkap.
  2. simpulan bahasa - terdiri daripada dua perkataan
  3. bidalan - dalam bentuk ayat yang abstrak
  4. pepatah - bahasa kiasan yang berasal daripada adat resam yang dipusakai orang Melayu sendiri
  5. perbilangan - diambil dari pengalaman hidup
  6. perumpamaan - juga dipanggil fasa metafora
1. PERIBAHASA
Menurut Za’ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasakiasan dalam budaya Melayu.
Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafal seberapa banyak peribahasa seperti robot.
Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan mengisi buku masing-masing dengan peribahasa moden yang janggal, dengan setiap penerbit menghasilkan peribahasa masing-masing.
Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh sebarang pihak.
Sebagai contoh (ciptaan sendiri):
Seperti tetikus tanpa wayar / Seperti tetikus lepas tambatan.
Penjelasan:Tetikus dahulu terikat kepada komputer dan tidak bebas bergerak. Bagaimanapun, tetikus moden tanpa wayar bebas bergerak tanpa perlu terikat dekat kepada komputer.
Ertinya: Seseorang yang dahulunya terikat kini bebas hendak ke mana-mana sahaja.
Contoh penggunaan: Aminah kini bebas pergi ke disko semenjak dia keluar dari rumah keluarganya dan berpindah di kampung ke bandar, seperti tetikus lepas tambatan.

2. SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Simpulan bahasa digunakan untuk menjelaskan lagi maksud sesuatu pengucapan’ dengan membawa erti yang mendalam. Kandungan maksud simpulan bahasa adalah berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya. Sebagai contoh; ada hati yang bermaksud ada kemahuan, alas perut pula bermaksud makanan yang dimakan sedikit supaya tidak lapar.

3. BIDALAN
Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran.
Contoh bidalan seperti jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong.

4. PEPATAH
Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Sebagai contoh, diam ubi berisi, diam besi berkarat bermaksud orang yang pendiam tetapi berakal itu lebih baik daripada orang yang pendiam tetapi bodoh.

5. PERBILANGAN
Perbilangan Adat
Perbilangan adat, banyak pengertian yang ditafsirkan, antaranya teromba, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Menurut Aripin Said (1996), perbilangan adat adalah sebagai gundalan adat iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat di kalangan mereka yang memakai Adat Pepatih. Secara ringkasnya, perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi (puisi adat) yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang, yang dikenali sebagai ‘Adat Minangkabau’. Di Malaysia perbilangan adat ini, banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu dipergunakan dalam Adat Pepatih. Seperti puisi lain, perbilangan adat diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Menurut Alwi Salim (1983), perbilangan adat ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi melalui ketua-ketua adat lembaga yang disebut ‘Buapak’. Walaupun begitu perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada zaman kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini:
Adat bersendi hukum Hukum bersendi Kitabullah
Kuat hukum, tak gaduhkan adat Ikut hukum, muafakat Ikut adat muafakat
Berdasarkan perbilangan di atas, dapat dikatakan perbilangan tersebut telah mengalami ciri-ciri keislaman. Walaupun terdapat penyesuaian tetapi ciri-ciri masih dipertahankan. Perbilangan adat ini berbentuk bebas, iaitu menggunakan gurindam, syair, pantun dan lain-lain bentuk puisi dalam penyampaiannya.
Kelebihan nabi dengan mukjjizat Kelebihan umat dengan muafakat Bulat air kerana pembetung Bulat manusia dengan muafakat Air melurut dengan bandaraya Benar melurut dengan muafakatnya(Za’ba 1962,242)
Manakala Abdullah Siddik, menyebut perbilangan adat sebagai ‘peribahasa adat’, dinyatakan seperti berikut:
Raja menobat di dalam alam Penghulu menobat di dalam luak Lembaga menobat di dalam lingkungannya Orang banyak menobat di dalam teratak (Abdullah Siddik 1975,110)
Manakala Siti Hawa Haji Salleh (1987), menyatakan perbilangan adat sejenis puisi yang tidak tertentu bentuknya (sama seperti gurindam dan seloka). Manakala Mohd Yusof Md. Nor (1991), telah menyimpulkan ciri-ciri yang terdapat dalam perbilangan adat, antara lain, adalah: 1. Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris 2. Terdapat sisipan berbagai puisi yang lain, misalnya pantun, gurindam, peribahasa dan lain-lain 3. Isinya memuat hal-hal yang berhubungan dengan undang-undang, adat istiadat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.
Perbilangan adat juga mempunyai fungsi kepada masyarakatnya, antaranya ialah untuk membicarakan susun lapis pemerintahan, hubungan keluarga, fungsi dan tugas setiap ahli masyarakat. Perbilangan adat juga untuk menyatakan bahawa setiap orang berguna dalam satu-satu masyarakat. Kesimpulannya fungsi perbilangan adat terhadap masyarakatnya, ialah:

1. Memberi panduan/pendidikan
2. Membentuk /membina masyarakat yang harmoni
3. Satu cara kawalan sosial - dipersetujui bersama
4. Mengekalkan satu norma tertentu dlm masyarakat
5. Mengambarkan corak dan pola hiduop bermasyarakat.
6. Menggambarkan pola pemikiran masyrakat (kepandaian/kebijaksanaan)

Terdapat berbagai jenis perbilangan adat yang berasaskan sistem sosial Minangkau, menurut Mohd Taib Osman (1975), antaranya ialah:

1. Metos dan lejenda, iaitu menyatakan asal-usul adat dan alam Minangkabau. Di bawa oleh dua Datuk bersaudara iaitu Datuk Temenggung dan Datuk Pepatih Nan Sebatang, kedatangan “bangau putih” iaitu orang Minangkabau yang merantau ke Negeri Sembilan dan perhubungan mereka dengan “gagak hitam” iaitu orang asli Negeri Sembilan. Adat ini juga disebut “teromba”’ iaitu lagu asal usul.

2. Kata-kata istiadat, iaitu susunan kata-kata khas untuk istiadat tertentu seperti perlantikan Penghulu, meminang, perkahwinan, pembahagian harta dan sebarang majlis keramaian.

3. Undang-undang, digunakan dalam menguruskan undang-undang jenayah atau hukum pidana adat yang menyatakan jenis-jenis kesalahan, jenis bukti dan hukuman dan juga undang-undang sivil, mengenai pembahagaian harta dan syarat pembahagian harta dan hak.
4. Falsafah, sebahagian besar perbilangan adat termasuk dalam kategori falsafah. Ini kerana kata-kata falsafah ini disisipkan ke jenis lain. Segalanya terjalin ke dalam satu sistem intelek yang menjadi asas kepada seluruh adat Minangkabau.
Berkisarkan tentang konsep dan aspek yang diketengahkan dalam perbilangan adat dinyatakan oleh Alwi Salim (1983), antaranya:
1. Konsep pemerintahan, dalam konsep ini perbilangan adat menyatakan dengan jelas susunan pemerintahan adalah mengikut peringkat-peringkat berikut, iaitu dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi. Ini digambarkan dalam: Raja menobat di dalam alam Penghulu menobat di dalam luak Lembaga menobat di dalam lingkungannya Ibu bapa menobat pada anak buahnya Orang banyak menobat di dalam terataknya
2. Konsep keadilan, perbilangan adat ini tidak didasarkan kepada pembalasan tetapi didasarkan kepada pemulihan (restitution). Diperturunkan kata-kata ini: Yang mencincang, memapas Yang membunuh membangunkan Yang menjual, memberi balas
3. Aspek ekonomi, kata-kata perbilangan disusun indah dan menunjukkan bahawa kehidupan memerlukan ekonomi yang teguh, didengarkan perbilangan ini: Majlis di tepi air Mendesa di perut kenyang

4. Aspek sosial, masyarakat Adat Pepatih melahirkan perbilangan ini adalah mengikut susunan unilateral-matrilineal. Ia merangkumi pemilihan ketua dalam masyarakat, utamakan nisab sebelah ibu, tanggungjawab, hak, pedoman, pegangan dan juga perpaduan. Ini untuk menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai taraf yang sama dan mesti dimuliakan, diperturunkan perbilangan ini: Yang buta penghembus lesung Yang pekak pelepas bedil Yang lumpuh penghuni rumah Yang kuat pembawa beban Yang bingung disuruh-suruh Yang cerdik lawan berunding

5. Aspek adat istiadat, banyak menjurus kepada adat berumahtangga, iaitu dari pertunangan, perkahwinan, penceraian sehingga kepada pembahagian harta.

6. Sistem kewarisan, dalam sistem ini perbilangan adat digunakan untuk pembahagian harta pusaka. Yang mana Buapak dan Datuk Lembaga bertindak sebagai pemegang kuasa. Mengikut Adat Perpatih harta pusaka diperturunkan kepada anak perempuan sahaja dan tanah pusaka tidak dibenarkan dijual atau digadai. Sebagai kesimpulannya, perbilangan adat dapat dikatakan sebagai bentuk puisi klasik yang juga intim dengan kehidupan masyarakat melayu lama. Sehingga kini perbilangan adat ini masih digunakan oleh kelompok masyarakat yang mengamalkan tatacara Adat Perpatih.

6. PERUMPAMAAN
Perumpamaan ialah sejenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan apa-apa yang ada di sekeliling kita. Perumpamaan menggunakan perkataan bagai, laksana, dan seperti. Sebagai contoh;bagai aur dengan tebing yang bermaksud bermuafakat atau tolong-menolong.

Dipetk daripada catatan Nizam Mat Saari

SINTAKSIS- Bahagian 2(Ayat Majmuk)

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung gabungan seperti atau, dan, lalu, malahan, sambil serta tetapi bagi, seraya, kecuali, melainkan, manakala, bahkan, kemudian dan kata hubung gabungan lain.
Contoh:
a. Awak boleh memakai kasut putih atau kasut hitam.
- Awak boleh memakai kasut putih.
- Awak boleh memakai kasut hitam.
b. Halim memelihara ikan sepat dan ikan keli.
- Halim memelihara ikan keli.
- Halim memelihara ikan sepat.
c. Ramli menyanyi sambil menari.
- Ramli menyanyi.
- Ramli menari.
2. Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung pancangan seperti agar, bahawa, jika, untuk, ketika, semasa, setelah, semenjak, selagi, selama, supaya, hingga, walaupun...
Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu pancangan relatif, pancangan komplemen dan pancangan keterangan
i)Ayat majmuk pancangan relatif menggunakan kata hubung yang. Contoh:
a. Wanita yang menjadi calon ibu misali itu ibu saya.
- Wanita itu menjadi calon ibu misali.
- Wanita itu ibu saya.
ii) Ayat majmuk pancangan komplemen menggunakan kata hubungan bahawa dan untuk.
a. Perdana Menteri mengumumkan bahawa kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan gaji tidak lama lagi.
b. Tentulah tidak wajar untuk mereka melakukan aktiviti membuli pelajar lain di sekolah.
iii)Ayat majmuk pancangan keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja induk. Ayat-ayat ini terdiri daripada ayat majmuk keterangan musabab, waktu, syarat, cara, tujuan, perbandingan, pertentangan dan akibat.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan musabab:
a. Saya tidak menghadiri majlis perkahwinan itu kerana tidak diundang.
b. Oleh sebab mereka tidak menjelaskan yuran tahunan persatuan, keahlian mereka dalam persatuan itu akan digantung.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan waktu.
a. Guru baru itu melaporkan diri di sekolah itu setelah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri.
b. Sementara menunggu anak saya pulang dari sekolah, saya mengemas rumah.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan syarat:
a. Sekiranya awak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ini saya akan menghadiahi awak sebuah motosikal.
b. Kita akan dapat melaksanakan Program Pendidikan Alam Sekitar ini seandainya kita mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Contoh ayat majmuk keterangan cara:
a. Murid-murid di kawasan pedalaman itu ke sekolah dengan menaiki perahu.
b. Dengan berbekalkan semangat yang tinggi serta usaha yang gigih, Hazreen berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Contoh ayat majmuk keterangan tujuan:
a. Pekerja syarikat itu digesa melipatgandakan usaha mereka untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil kerja.
b. Demi menjaga nama baik dan imej sekolah, semua pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga peringkat daerah itu dinasihati agar mematuhi peraturan pertandingan.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan perbandingan:
a. Sikap pemuda itu yang tidak pandai menghargai pemberian orang lain, samalah ibarat kera mendapat bunga.
b. Suasana kehidupan penduduk desa itu amat harmoni lantaran mereka saling membantu bagaikan aur dengan tebing.
Contoh ayat majmuk keterangan pertentangan:
a. Walaupun malam sudah larut, Faizal masih terus mengulang kaji pelajarannya.
b. Meskipun ayah saya sudah berumur, dia masih ingin menguruskan kebun buah-buahannya.
Contoh ayat majmuk keterangan akibat:
a. Kanak-kanak itu menjerit terlalu kuat hingga hilang suaranya.
b. Pelajar yang cacat penglihatan itu amat gigih dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga dia berjaya.
3.Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat , yakni yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan jenis ayat majmuk dengan menggunakan pelbagai kata hubung. Contoh:
a. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia dengan sifat lemah lembut serta sopan-santun yang tinggi nilainya lagi mulia.
* Ada beberapa jenis ayat kecil yang membentuk ayat majmuk di atas , iaitu:
1. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia.
2. Orang Malaysia memang terkenal dengan sifat lemah lembut.
3. Orang Malaysia memang terkenal dengan sopan santun yang tinggi nilainya lagi mulia.

SINTAKSIS- Bahagian 1(Pengenalan)

Sintaksis
 Cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat.
 Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat.
Ayat
 Ayat ialah binaan yang terdiri daripada unsur ayat, iaitu unit-unit yang membentuk ayat.
 Contohnya: Ahmad sedang membuat kerja rumah
 Contoh ayat di atas terdiri daripada dua bahagian iaitu :
(i) Ahmad sedang dan bahagian (ii) membuat kerja rumah.
 Bahagian subjek dan predikat, merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat bahasa Melayu. Subjek dan prediket pula mempunyai unsur-unsur, iaitu sama ada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS).


Frasa
 Frasa ialah satu binaan atau unsur ayat yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua perkataan atau jika terdiri daripada satu perkataan, ia berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih.
 Frasa tidak boleh dipecahkan kepada subjek dan predikat.
 Seperti yang diterangkan di atas, ada empat jenis frasa iaitu FN, FK, FA dan FS
 Menurut binaannya, frasa dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu frasa endosentrik dan frasa eksosentrik.

 Frasa endosentrik
 1. Frasa yang mengandungi satu unsur inti .
 2. Unsur inti ini mewakili seluruh frasa berkenaan. Frasa dinamakan mengikut unsur inti ini.
 3. FN, FK dan FS ialah frasa endosentrik.
 4. Ini kerana kata nama, kata kerja, dan kata adjektif boleh menjadi unsur inti setiap frasa itu.
Contohnya: sepasang mata biru (FN. Inti frasa ini ialah mata, jenis kata nama)

 Frasa Eksosentrik
 Frasa sendi nama seperti ke tandas, di sekolah tidak mempunyai unsur inti.
 Kewujudan sendi nama di bergantung kepada sekolah dan ke kepada tandas.
 Oleh itu, frasa jenis ini dikatakan frasa eksosentrik kerana pusatnya bergantung kepada suatu unsur luaran.


Binaan Ayat
 Bahagian subjek dan bahagian predikat merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat dalam Bahasa Melayu.
 Perhatikan contoh di bawah:

Ah Tian  guru senaman
Tipah membeli gula
Suara ketua pengawas itu serak-serak basah
Rumahnya  di pinggir bandar

Dalam contoh di atas binaan ayat biasanya merupakan  Subjek + Predikat. Subjek pula biasanya  terdiri daripada Frasa nama, contohnya  Ah Tian,Tipah, Suara ketua pengawas itu, dan Rumahnya.  Manakala Predikat pula terdiri daripada  Frasa Nama (FN), Contoh: guru senaman .Frasa Kerja (FK) Contohnya: Membeli gula, Frasa Adjektif (FA) contohnya serak-serak basah dan Fras Sendi nama (FSN) Contohnya: di pinggir bandar.

Ayat Dasar dan Ayat Terbitan
 Perhatikan ayat berikut:
Pelajar itu membaca buku.

 Ayat ini terdiri daripada satu klausa kerana mempunyai satu subjek (pelajar itu) dan satu predikat (membaca buku).
 Ayat seperti ini dipangil ayat dasar kerana menjadi punca penerbitan ayat-ayat lain.
 Jika kita hendak menambah maklumat kepada maklumat kepada maklumat asas itu dengan penerangan kepada maklumat asas itu dengan peneragan kepada subjek atau penerangan kepada predikat, maka ayat berkenaan boleh menjadi seperti berikut:

Pelajar tingkatan enam itu membaca buku.
(tingkatan enam menjadi penerang kepada pelajar, iaitu subjek ayat)

Pola Ayat Dasar

 Pola ayat dasar mempunyai rumusnya tersendiri.
 Rumus-rumus ini boleh terdiri daripada unsur-unsur Frasa Nama (FN), Frasa Kerja (FK), Frasa Adjektif (FA) atau Frasa Sendi Nama (FS)
 Pola-pola ayat dasar adalah seperti berikut;

Pola 1
FN + FN = Encik Ali(FN) guru sekolah(FN)
Pola 2
FN+ FK = Bapa mereka (FN) sedang berehat (FK)
Pola 3
FN+FA  =Anak itu (FNsungguh sihat (FA)
Pola 4
FN +FSN=Pejabat saya (FN) si Kuala Lumpur (FSN)