CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, November 12, 2010

KELEMAHAN DALAM PEMBINAAN KARANGAN


Kesilapan  yang kerap dilakukan pelajar semasa menulis karangan seperti berikut :

1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana
   
    Namun, Tetapi, Malah, Manakala,  Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)…..manakala……, ……malah…. (sepatutnya ditulis  di tengah ayat atau untuk menghubungkan dua ayat)


2. Ayat tergantung kerana ketidaan subjek

( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat.
Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di tengah ayat)

 Ini menunjukkan….. sepatutnya, Hal/ Perkara ini menunjukkan……


Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…


3. Kesalahan ejaan
bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.

4. Kesalahan imbuhan (Kata kerja Transitif)untuk kata yang mengandungi dua objek
  memberi kasih sayang kepada anak…… sepatutnya memberikan kasih sayang.kepada anak Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.

5. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …
    mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…


6. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama. Contohnya, Sungai yang terpanjang adalah sungai Rajang. Sepatutnya,...ialah sungai... Hadiah ini ialah untuk... seaptutnya ...hadiah ini adalah untuk...

7. Kata kerja tidak menerima  atau tidak boleh didahului oleh kata pemeri. Anda perlu menambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah  menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)

8. Bentuk lewah . Kata jamak sudah menunjukkan banyak ,jadi perkataan seterusnya tidak lagi perlu digandakan kerana penggandaan juga menunjukkan banyak. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah
Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini sahaja kerana perkataan kini sudah membawa maksud pada masa ini.
9.  Kata adjektif tidak boleh menerima tiga apitan serentak . Hanya dua imbuhan sahaja perlu digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik , memperbesarkan....sepatutnya membesarkan  atau perbesarkan

10. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain aktiviti . Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain.

11. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan secara besar-besaran……


12. Kesilapan penggunaan kata sendi nama di   dan dalamdi kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah, mankala dalam untuk menyatakan sesuatu yang bersifat abstrak.
13. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya … Selain itu,…

14. Kesilapan penggunaan kata sendi nama oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…

15. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.
Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).

16. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.

17. Kesilapan penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. Sepatutnya “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu, sebaliknya hanya berfungsi untuk menguatkan hujah atau kenyataan isi atau ayat sebelumnya.

18. Kesilapan penggunaan ayat pasif bagi kata ganti nama diri pertama dan kedua. Contoh: Tindakan segera harus diambil oleh kita... Sepatutnya Tindakan segera harus kita ambil.

19. Kesilapan penggunakan ayat pasif bagi kata ganti nama diri ketiga. Contoh: Tindakan  drastik harus kerajaan ambil.. Sepatutnya Tindakan drastik harus diambil oleh kerajaan...


20. Masih terdapat pelajar yang tidak dapat membezakan antara kata depan  atau kata sendi nama dan kata kerja. Contoh: diatas, disana, disini . Penulisan kata depan atau kata sendi nama sepatutnya dijarakkan seperti di atas, di sana  , di sini. Sementara itu , kata kerja pula ditulis secara terpisah seperti di gerakkan, di tempatkan... Sepatutnya ditulis serangkai seperti ...digerakkan... ditempatkan.

PENANDA WACANA-Bahagian Keempat

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

• Intihanya,

• Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas

• Konklusinya,

• Dengan ini diharapkan

• Bukan itu sahaja

• Mudah-mudahan perkara ini

• Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa

• Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni, insyallah perkara ini akan …

• Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

PENANDA WACANA-Bahagian Ketiga

• Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

• Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

• Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.

• Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….

• Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

Kaedah Kesinambungan idea


• Bagi sesetengah orang …

• Begitu juga dengan …

• Begitu juga halnya dengan …

• Bertitik tolak daripada itu …

• Bukan itu sahaja …

• Dalam hal ini …

• Dalam konteks ini ..

• Dalam zaman yang serba canggih ini …

• Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …

• Dengan adanya …

• Dengan berbuat demikian …

• Dengan perkataan lain ..

• Disebabkan hal itu

• Disebabkan keistimewaan inilah kita ..

• Hal ini berlaku disebabkan

• Hal ini penting dalam

• Hal ini serupa dengan

• Hal yang serupa berlaku apabila

• Jadi kita perlu

• Jadi kita hendaklah

• Keadaan ini tentunya

• Lantaran itu sehingga kini

• Kesemua ini menyumbang kepada

• Kita mengakui hakikat bahawa

• Kita sering menonton di kaca televisyen

• Kita sering membaca di dada-dada akhbar

• Memandangkan keadaan yang sedemikian

• Secara logiknya masa yang

• Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita

• Keadaan ini seharusnya boleh

• Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini

PENANDA WACANA-Bahagian Pertama

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah, dan
pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap.Seandainya sesuatu wacana karangan berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautanyang lengkap. Contoh penanda wacana mudah  seperti berikut:

1. Tambahan :
    dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping

2. Urutan :
    pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya

3. Penyataan semula:
   iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan

4. Contoh:
  contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai

5. Rumusan:
  rumusannya , kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata

6. Tempat:
  berhampiran dengan, bersebelahan dengan,bertentangan dengan

7. Waktu :
apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya

8. Sebab dan kesan:

oleh itu, sebab itu, justeru , fasal, lantaran, jadi, dengan itu

9. Bandingan:
seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga, dengan

10. Pertentangan :
tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan

11.Pengesahan:
sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah,pastilah, sememangnya

Penggunaan penanda wacana dalam penulisan jika digunakan dengan konteks ayat yang sesuai mampu menghasilkan gaya penulisan yang menarik.

Namun begitu, jika pelajar kurang memahami konsep sesuatu penanda wacana , mungkin ayat yang menggunakan penanda wacana tersebut menjadi tidak gramatis.




Pembinaan Karangan

Karangan

1
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu STPM menyatakan bahawa pelajar perlu menulis karangan yang panjangnya antara 650 hingga 700 patah perkataan.

2
Empat tajuk akan dikemukakan dan calon-calon perlu memilih satu daripada empat tajuk.

3
Sukatan pelajaran memperuntukkan 50 markah untuk karangan.

4
Terdapat empat jenis karangan, iaitu:

i. rencana/perbincangan/pendapat/perbahasan/ulasan/
ii. laporan
iii. ceramah/syarahan/ucapan/pidato
iv memorandum

5
Karangan boleh dibahagikan kepada yang berformat atau tidak berformat. Sama ada ia berformat atau tidak, ia masih mempunyai struktur tertentu. Rumus yang paling umum untuk mencirikan karangan ialah, ia mempunyai pendahuluan, tubuh dan penutup. setiap bahagian itu mempunyai perenggan untuk menyatakan tiap-tiap unit pemikiran.

6.
Apakah yang perlu anda kuasai untuk menghasilkansebuah karya yang baik? Sebagai permulaan, anda perlu faham konsep wacana, laras dan retorik dengan baik, serta mempunyai asas tatabahasa yang mantap.

7.
Sepertimana yang dijelaskan dalam (5) perenggan ialah ``satu kumpulan gagasan (idea) yang didasari oleh satu gagasan utama (idea utama). perenggan merupakan satu unit fikiran yang lengkap.''
Ayat-ayat yang mengandungi idea utama dikenali sebagai ayat topik atau ayat judul. Ayat-ayat lain dalam sebuah perenggan dikenali sebagai ayat sokongan. Ayat-ayat ini  berfungsi menghuraikan, menyokong dan memperteguh idea utama dalam ayat topik.
Ayat Topik
Ayat yang menyatakan idea utama atau gagasan utama secara penyataan pendapat atau penyataan niat.
Ayat-ayat sokongan
Ayat-ayat yang menghuraikan, menyokong, atau memperjelaskan idea utama dalam ayat untuk  menjelaskan sesuatu. Contoh, statistik, atau petikan daripada sumber tertentu.
8.
Struktur karangan 1-6-1
Sebagai sebuah wacana, karangan terdiri daripada tiga bahagian iaitu pendahuluan tubuh karangan, dan penutup. Berasaskan panjang karangan yang dikehendaki oleh sukatan pelajaran, iaitu antara 650 hingga 700 patah perkataan, karangan anda sesuai menggunakan struktur 1-6-1, iaitu satu perenggan untuk pendahuluan, enam perenggan untuk tubuh karangan(Isi), dan satu perenggan penutup.

9.
Teknik yang berkesan untuk menulis karangan di peringkat tingkatan enam ialah menggunakan pendekatan penulisan akhbar, iaitu prinsip Piramid terbalik, atau Piramid songsang.



10
Perenggan pendahuluan mempunyai fungsi tarikan yang penting, yang akan menentukan sama ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak.

11.
Perenggan pendahuluan mesti menggambarkan tajuk karangan yang diberikan untuk anda buat. Ia merupakan gagasan idea yang menjadi inti kepada keseluruhan tubuh karangan anda.

12.
Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana ia berfungsi menyimpulkan buah fikiran dalam satu atau dua perenggan sahaja.

13.
Keutuhan karangan merujuk kepada kebulatan dan kesepaduan karangan. Ia dicirikan oleh sifat-sifat kohesi dan koheren. Kohesi merujuk kepada idea atau isi karangan yang dijalin dengan rapi. Koheren merujuk kepada kesinambungan ayat-ayat atau perenggan-perenggan yang membawa idea-idea yang dipersembahkan.

14.
Beberapa ciri berikut perlu diketahui oleh pelajar dalam proses memantapkan karangan:
i. Diksi - Pemilihan kata yang sesuai dengan tajuk serta laras karangan. Teknik penggunaan medan kata adalah penting. Daripada medan kata itu, anda boleh pula mencatatkan perkataan yang bersinonim, berantagonis dan sebagainya.
ii. Tatabahasa dan ejaan -  berhati-hati dengan tatabahasa kerana banyak markah akan ditolak jika berlaku banyak kesalahan tatabahasa. Tunjukkan kematangan anda berbahasa dengan menggunakan tatabahasa yang betul. Sebagai contoh:  bezakan dari dan daripada, ialah dengan adalah, dan sebagainya

15.
Persediaan mengarang mengandungi empat kemahiran penting, iaitu:
i. memahami soalan
ii. mengumpul idea dengan tajuk
iii. membuat medan kata/beberapa kata kunci
iv. menyusun idea-idea dan membuat rangka karangan

ASPEK PEMARKAHAN

Kerelavanan(R)    - 21  Markah
Pengolahan (P)    - 14  Markah
Bahasa        (B)    - 15  Markah
--------------------------------------
Jumlah                  - 50  Markah

Kerelavanan     merangkumi:                    
Pengenalan     (P)   -  3  Markah                                 
Isi (I)                          - 15 Markah
Kesimpulan(K)        -  3  Markah

Perhatian untuk pengunjung blok saya...

Khusus untuk anak-anak murid cikgu dan sesiapa juga yang mengunjungi blog cikgu ini.

Setelah agak lama menyepi lantaran kesibukan tugas yang lebih penting cikgu akan kembali dengan persembahan bahan-bahan yang baru untuk para pelajar sekalian. Sebelum itu, cikgu ingin memaklumkan bahawa nota-nota yang terdahulu ada beberapa kesilapan teknikal seperti kesilapan   ketika menaip atau ada bahan yang tersilap masuk. InsyaAllah  dari semasa ke semasa cikgu akan baiki beberapa kesilapan yang dapat cikgu kesan. Cikgu berharap pelajar -pelajar juga mestilah rajin meneliti  dan jika ada kesilapan fakta yang cikgu berikan  tanpa sengaja. dapatlah dimaklumkan kepada cikgu untuk cikgu baiki nota atau bahan tersebut. Cikgu juga amat mengalu-ngalukan perkongsian bahan dari para pelajar sekalian. Percayalah ilmu yang kita ada jika dikongsi dengan orang lain ilmu itu  akan menjadi lebih mantap dan berkat. Sesungguhnya ilmuyang kita miliki ibarat sepohon pokok yang semakin dicantas dan dipotong  akan semakin lebat  serta subur daunnya.
Sekian, Selamat melayari laman blog ini.