CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, November 14, 2010

Isu Pilihan-Penderaan Kanak-Kanak

PENDERAAN KANAK-KANAK

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris bagi sesebuah keluarga. Dengan kehadiran anak-anak,  akan bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin tersebut. Mereka juga sebagai penghibur  dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namu begitu, akhir-akhir ini kita telah mendengar pelbagai kes penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan  dalam akhbar dan  menerusi televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana  antara pendera  itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa itu sendiri.

Sesungguhnya terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang suka merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa.  Ibu bapa yang tidak sabar dengan karenah anak-anak  mungkin akan memarahi , memukul, dan ada yang sanggup menyepak,  serta menerajang akibat terlalu geram dengan tingkah laku ana-anak mereka .Ibu bapa yang berperwatakan seperti itu sebenarnya hany mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab.

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri  atau sesebuah institusi keluarga itu. Masalah tersebut akan menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan  terhadap anak-anak akibat tekanan yang dihadapi. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang ibu bapa. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak. Fikirkanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah, sekurang-kurangnya carilah pakar kaunseling atau orang yang dipercayai  untuk mendapat khidmat nasihat  agar masalah  yang dihadapi dapat  diatasi dengan cara yang lebih matang.

Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka akibat krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru. Walaupun anak-anak hanya melakukann kesalahan atau kesilapan yang kecil mereka dimarahi dan dipukul oleh si ayah yang sedang mabuk kepayang dengan perempuan lainb. Akibatnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan. Dalam situasi yang lain pula, ibu bapa yang telah bercerai, memukul dan mendera anaknya sendiri gara-gara wajah si anak seiras dengan wajah bekas suaminya atau isterinya . Semua fenomena ini terjadi kerana ibu dan bapa yang menghadapi  krisis dalam rumah tangga gagal mengawal emosi masing-masing.

Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama dalam  kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting  dalam  sesebuah rumah tangga kerana agama  boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada pendekatan yang digariskan oleh agama. Agama  Islam contohnya, telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti menguasai tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. Dalam kitab AI-Quran juga telah menjelaskan  bahawa azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti  tanggungjawab terhadap anak-anak  merupakan amanah Allah kepada kita yang wajib dijalankan dengan sempurna.

Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Dalam  hal ini media massa seperti  televisyen, dan akhbar  perlu memberikan kerjasama untuk menjayakan kempen ini. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.

Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mendera kanak-kanak. Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang  yang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal  dihadapi  akibat perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu.Pihak-pihakyang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi. 
Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

Isu Pilihan-Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Usaha-usaha Menjadikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
Dasar Bahasa
Dasar bahasa terletak terletak pada kuasa pemimpin politik politik.  Maka, pemimpin perlu menetapkan dasar bahasa yang jelas untuk menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar ilmu pengetahuan,bahasa perpaduan dan bahasa penyatuan masyarakat. Langkah menetapkan dasar yang jelas serta mempertahankannya perlu ada dalam jiwa setiap pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat.
Peranan Golongan Intelektual.
Golongan profesional harus disyaratkan menulis dalam bahasa Melayu tentang bidang kepakaran mereka sebagai syarat untuk kenaikan pangkat dalam pengesahan jawatan.  Golongan profesional itu terutamanya mereka yang terlibat dalam bidang akademik, harus menguasai kemahiran penulisan professional dalam bahasa melayu supaya ulmu yang dipelajari di Barat dapat dipindahkan ke dalam bahasa itu untuk faedah anak-anak bangsa.
Usaha demikian telah dilakukan oleh bangsa Jepun,misalnya golongan terpelajar Jepun dihantar ke luar Negara,seperti Jerman Amerika dan Rusia untuk belajar teknologi automobile. Hasilnya golongan itu memindahkan teknologi yang dipelajari di luar Negara  ke dalam teknologi Jepun dengan menggunakan bahasa Jepun,lalu terciptalah industry kereta yang berjenama sepeti Honda,Toyota , dan Nissan.  Dengan kata lain, melalui peranan golongan intelektual usaha mengilmukan rakyat Malaysian dengan ilmu sains dapat direalisasikan di Negara ini.
Selain itu, usaha mengilmukan bahasa Melayu dapat direalisasikan melalui penghasilan buku ilmiah dalam bahasa tersebut khususnya yang memuatkan penyelidikan dalam pelbagai bidang oleh golongan professional untuk disebarkan kepada masyarakat.Usaha itu perlu dilaksankan supaya golongan professional juga turut berasa cinta akan bahasa kebangsaan mereka.
Kemudahan Teknologi maklumat dan komunikasi.
Langkah mengilmukan bahasa Melayu  dapat diwujudkan melalui laman sesawang bahasa Melayu pada peringkat negara yang merangkum bidang sains dan sastera. Usaha itu juga dapat memenuhi tujuan ekonomi dan mesyarakat pada peringkat negara.  Pada peringkat antarabangsa,bahasa melayu harus seiring dengan bahasa Inggeris dalam menyampaikan maklumat. Maklumat dalam bahasa itu diusahakan untuk pengguna Malaysia dan Negara Asia,manakala maklumat dalam bahasa Inggeris untuk pengguna pada peringkat dunia.Melalui kemajuan dan kemudahan teknologi maklumat dan  komunikasi,penyebaran bahasa Melayu dapat dirancakkan ke seluruh dunia dengan kadar yang cepat dan terkini.
Penerbitan artikel dan buku.
Langkah menggalakkan penerbitan artikel dan buku berbahasa Melayu harus diambil yang meliputi pelbagai bidang,terutama sains teknikal dan sains sosial .   Setakat ini,pegawai professional yang terdiri daripada pegawai akademik lebih digalakkan menulis artikel atau buku dalam bahasa Inggeris sebagai syarat kenaikan pangkat.  Tindakan itu bukan sahaja menyirnakan bahasa melayu dalam golongan professional, malah memalapkan teknologi ilmu moden dalam kalangan rakyat Malaysia.terutama yang berada jauh dari pusat bandar.
Penerbitan buku dalam bahasa Melayu perlu disebarkan ke seluruh negara termasuk sekolah,kolej,universiti dan perpustakaan negeri,daerah dan bergerak serta kedai buku di bandar dan luar bandar.Penyebaran yang menyeluruh dapat memasyarakatkan buku tersebut di samping dapat meningkatkan tahap pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia sepenuhnya.
Perubahan sikap dan cara berfikir rakyat Malaysia.
Semua kakitangan kerajaan serta swasta atau korporat harus digalakkan menguasai bahasa Melayu untuk tujuan bekerja dan berkomunikasi.Hal yang sama juga turut perlu dilaksanakan dalam kalangan pegawai asing yang berkhidmat dalam sector kerajaan dan swasta di negara ini.  Bagi golongan pelajar, syarat kepujian dalam bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysian,Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia kolej dan institusi pengajian tinggi harus dikekalkan, malah menjadi syarat utama dan pemberian biasiswa dan pinjaman kepada pelajar tempatan dan luar negara termasuk pelajar sekolah,kolej dan universiti di Malaysia.
Peningkatan Jati Diri Terhadap Bahasa Melayu.
Mutakhir ini, Malaysia masih menghadapi masalah pembentukan jati diri rakyat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  Masalah ini dikenal pasti berpunca daripada sikap individu atau kelompok masyarakat yang terbabit.Hal ini demikian kerana dalam golongan rakyat Malaysia hari ini, golongan intelek dan atlet terdiri daripada orang yang menuturkan bahasa Inggeris.Golongan itu menerima bahasa itu sebagai bahasa sebagai bahasa pertuturan utama dalam konteks rasmi dan tidak rasmi, Dengan kata lain,golongan titu menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda atau sebagai bahasa pertama kerana dikatakan lebih bernilai daripada bahasa melayu.  Sikap itu timbul kesan daripada kelemahan dasar pelaksanaan di Malaysia .   Golongan itu memang tidak mengamalkan konsep “dimana bumi berpijak,di situ langit dijungjung.
Pelbagai Usaha perlu juga dirancang dan dijalankan untuk mengilmukan bahasa Melayu di luar Negara.
Pemantapan Program Pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa asing.
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu membentuk kerjasama dengan negara yang menawarkan kursus atau pengajian bahasa Melayu.   Kerjasama peringkat institusi dan negara akan menghidupkan jaringan atau ikatan usaha untuk meengilmukan bahasa Melayu pada peringkat dunia.Hal ini demikian kerana menurut statistik,penutur bahasa Melayu di dunia dianggarkan melebihi 300 juta termasuk penutur bahasa Indonesia. Bahasa Melayu  merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindu atau bahasa Urdu.
Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi antarabangsa.
Bahasa Melayu yang bersandarkan pada kenyataan geografi,kebudayaan dan ekonomi Malaysia saling berhubung dengan Negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand , Cina, Korea dan Jepun di Asia,dan Negara Eropah,seperti England,Jerman Perancis serta Negara Afrika dan Negara Asia Barat. Dengan Jalinan yang luas seperti itu ,bahasa melayu berupaya membentuk peta penyebaran yang menyeluruh.Peranan bahasa harus mencakup bidang baahasa ilmu sumber alam , seperti hasil hutan tropika, hasil laut dan pertanian ,serta bahasa yang mengungkapkan kebudayaan bahasa melayu yang merangkum kebudayaan empat buah Negara iaitu Malaysia Singapura, Indonesia dan Brunei. Dengan mewujudkan kerjasama antara Negara tersebut,bahasa itu dapat dijadiakan bahasa ilmu dalam pelbagai bidang, seperti teknologi komputer, sains perniagaan dan perubatan tropika.
Pertukaran Pensyarah dan Pelajar.
Program pertukaran pensyarah dan pelajar paling minimum selama satu semesta di sebuah universiti di Malaysia perlu dilaksanakan. Melalui program itu, pelbagai kegiatan penting untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dapat dilangsungkan.  Usaha itu juga dapat menambah pengalaman kerja.Melalui pengalaman kerja, selain menjalin hubungan istimewaanya yang bertaraf antarabangsa,kita dapat menyemarakkan penyebaran dan penggunaan bahasa Melayu yang bertaraf antarabangsa.

Penubuhan Pusat Dokumentasi Bertaraf Antarabangsa.
Pusat Dokumentai bahasa Melayu yang bertaraf antarabangsa di luar negara perlu ditubuhkan untuk menunjukkan pengguna luar negara. Bahan yang disediakan harus melalui penelitian perkayaaan yang mantap.Usaha itu juga harus dibuka kepada semua lapisan pelajar yang berminat melanjutkan pengajian dalam program bahasa dan bilinggulistik Melayu di Malaysia akan menjalani program magang dengan syarikat perusahan di Malaysia asia dan Eropah. Melalui penubuhan pusat itu,segala maklumat serta komperehentif tentang dunia Melayu dahulu dan kontemporari dapat disebarkan kepada pengkaji dan penggunanya.
Pelaksanaan aktiviti bahasa Melayu di luar Negara
Aktiviti kreatif menjadikan individu dan kelompok individu menguasai bahasa Melayu di luar Negara perlu di jalankan. Antaranya  pertandingan berbalas pantun, deklamasi sajak, pertandingan drama dan pertandingan teater,di samping aktiviti sosiobudaya seperti tarian dan drama.” Mesra bahasa “ juga dapat diadakan untuk memberikan pendedahan ringkas tentang bahasa Melayu bagi meningkatkan kemahiran berbahasa, selain bertukar fikiran dan mengeratkan hubungan antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan pensyarah serta pelajar dengan masyarakat, dan penutur bahasa itu yang berada di luar negara. Tindakan untuk mengendalikan program ini perlulah diambil inisiatif oleh badan-badan bukan kerajaan(NGO), university,kolej,pertubuhan-pertubuhan bahasa, pusat penyiaran seperti RTM,TV3, dan sebagainya.
Kesimpulan
Langkah mengilmukan bahasa Melayu di dalam dan di luar negara memerlukan usaha yang sungguh-sungguh pada peringkat individu, keluarga, sekolah, masyarakat dan pemimpin. Hati yang jujur dan luhur serta jati diri yang menebal terhadap bahasa itu daripada setiap rakyat Malaysia dapat mencapi sesuatu yang diilhamkan, malah mampu merentas segala halangan. Untuk mengilmukan bahasa melayu, bahasa itu juga harus berperanan sebagai bahasa ekonomi dalam kalangan negara asia. Melalui ASEAN, bahasa Melayu harus menjadi bahasa pengantaran ilmu, bahasa perdagangan dan  diplomatik, sekaligus lingua franca kepada sesiapa sahaja yang datang berdagang atau berurusan di asia. Untuk mencapai matlamat itu, bahasa melayu harus dipelajari oleh penduduk negara yang mempunyai kepentingan ekonomi dengan dunia Melayu, samada peringkat asia ataupun dunia. Dengan hal demikian,program pengajaran bahasa itu harusmengutamakan pendekatan aktiviti dan bahan yang dirancang dengan teliti secara mikro dan makro. Perancangan secara mikro melibatkan pemantapan kandungan dalam program bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi pada peringkat global. Manakala perancangan secara makro pula harus mengambil tiga komponen utama iaitu bahasa Melayu dan teknologi komunikasi bahasa  dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan  bahasa Melayu yang berkaitan dengan peradaban Melayu.

Petikan Pelita Bahasa
Dewan Bahasa dan Pustaka

PENANDA WACANA-Bahagian Kelima

Masalah Penggunaan Penanda Wacana
 Dalam sesebuah hasil penulisan, penggunaan penanda wacana atau dikenal juga sebagai perangkai ayat dapat memastikan wujud kesinambungan dan pertautan antara satu idea dengan idea yang lain. Kewujudannya dalam sesuatu wacana secara berkesan akan memantapkan hasil penulisan tersebut selain dapat membuat perkaitan antara ayat dengan ayat, mahupun antara perenggan dengan perenggan.

Beberapa contoh penggunaan wacana dapat diperhatikan di bawah :
1. Kerajaan amat menggalakkan rakyat mempelajari penggunaan komputer. Oleh hal yang demikian, berbagai-bagai usaha telah dilakukan untuk memastikan segenap lapisan masyarakat dapat mempelajarinya dengan berkesan.
2. Para pelajar diseru agar menitikberatkan pencapaian akademik. Di samping itu, kegiatan kokurikulum perlu diberikan perhatian juga.
3. Dia terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan keluarganya. Tambahan pula, bapanya telah meninggal dunia.

Antara contoh penanda wacana yang lazimnya ditemukan dalam sesebuah penulisan ialah selain itu, di samping itu, walau bagaimanapun, apatah lagi, lebih-lebih lagi, jika demikian, oleh sebab itu, oleh itu, justeru, lantaran itu dan namun begitu. Para guru sering mengingatkan para pelajar agar tidak melupakan penanda wacana semasa menulis karangan kerana selain dapat membantu mereka menghasilkan pertautan idea, karangan yang dibina dengan menggunakan penanda wacana yang sesuai akan kelihatan lebih mantap. Penggunaan penanda wacana yang tepat pada tempatnya menunjukkan kematangan para pelajar ataupun seseorang penulis menggunakan bahasa dengan baik.

Namun begitu, kadangkala berlaku kesalahan penggunaan penanda wacana yang berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang cara menulis, fungsinya serta aspek tatabahasa yang perlu dipatuhi. Misalnya, tidak meletakkan tanda koma ( , ) selepas penanda wacana yang berfungsi sebagai frasa. Contohnya,
1. Pihak kerajaan akan memastikan pendapatan para petani dapat ditingkatkan. Oleh itu pelbagai langkah yang difikirkan sesuai sedang direncanakan.
( Sepatutnya : Oleh itu, pelbagai langkah… )
Para pengguna bahasa kadangkala menulis penanda wacana yang tidak tepat dari segi struktur tatabahasanya. Misalnya,
2. Dia amat gemar akan buah manggis. Selain daripada itu, dia juga menggemari buah nangka. ( Sepatutnya : Selain itu,… )
3. Pihak berkuasa akan memperhebat gerakan memburu penjenayah itu. Ini kerana dia sangat berbahaya. ( Sepatutnya : Hal ini demikian kerana… )
4. Suria sangat aktif dalam kegiatan kokurikulum dan pencapaiannya dalam akademik amat baik. Oleh kerana itu, dia dipilih sebagai Ketua Murid. (Sepatutnya : Oleh sebab itu,… )
5. Dia berlatih di padang setiap petang. Walaubagaimanapun, dia tidak mengabaikan pelajarannya. ( Sepatutnya : Walau bagaimanapun,… )
6. Kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Justeru itu, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan untuk mengatasinya. (Sepatutnya : Oleh itu,… )

Kebanyakan pengguna bahasa menganggap justeru itu bermaksud oleh itu. Sebenarnya, jika dirujuki Kamus Dewan edisi ketiga pada halaman 551, kita akan mendapati makna justeru yang diberikan ialah :
1. kebetulan, tepat, kena benar.
2. malahan, bahkan.

Maksud yang kedua, iaitu malahan dan bahkan yang bersinonim dengan justeru. Sebab itulah tidak tepat penggunaan justeru itu kerana tidak wujud bentuk malahan itu ataupun bahkan itu. Penggunaan justeru dalam ayat yang gramatis seperti yang berikut :
7. Saya tidak pernah mengkhianatinya, justeru saya sering membantunya ketika dia dalam kesusahan.
8. Tindakan mereka bukan sahaja melanggar kemahuan orang tua mereka, justeru melanggar adab susila orang-orang timur.

Demikianlah serba ringkas penerangan yang dapat dikongsi bersama-sama dalam usaha kita menggunakan dan menggalakkan penggunaan bahasa yang betul, berkesan, dan menepati hukum bahasa. Semoga bahasa kita dapat dimartabatkan dengan keazaman untuk membetulkan kebiasaan yang salah dan membiasakan penggunaan yang betul.

Petikan Pelita Bahasa
Jun 2004

Friday, November 12, 2010

PENANDA WACANA-Bahagian Kedua

Contoh-contoh ayat pertama pengenalan karangan

Dalam era perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu pesat...

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
 

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
 

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat..
 

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial...

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
 

Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan

KELEMAHAN DALAM PEMBINAAN KARANGAN


Kesilapan  yang kerap dilakukan pelajar semasa menulis karangan seperti berikut :

1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana
   
    Namun, Tetapi, Malah, Manakala,  Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)…..manakala……, ……malah…. (sepatutnya ditulis  di tengah ayat atau untuk menghubungkan dua ayat)


2. Ayat tergantung kerana ketidaan subjek

( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat.
Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di tengah ayat)

 Ini menunjukkan….. sepatutnya, Hal/ Perkara ini menunjukkan……


Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…


3. Kesalahan ejaan
bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.

4. Kesalahan imbuhan (Kata kerja Transitif)untuk kata yang mengandungi dua objek
  memberi kasih sayang kepada anak…… sepatutnya memberikan kasih sayang.kepada anak Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.

5. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …
    mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…


6. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama. Contohnya, Sungai yang terpanjang adalah sungai Rajang. Sepatutnya,...ialah sungai... Hadiah ini ialah untuk... seaptutnya ...hadiah ini adalah untuk...

7. Kata kerja tidak menerima  atau tidak boleh didahului oleh kata pemeri. Anda perlu menambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah  menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)

8. Bentuk lewah . Kata jamak sudah menunjukkan banyak ,jadi perkataan seterusnya tidak lagi perlu digandakan kerana penggandaan juga menunjukkan banyak. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah
Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini sahaja kerana perkataan kini sudah membawa maksud pada masa ini.
9.  Kata adjektif tidak boleh menerima tiga apitan serentak . Hanya dua imbuhan sahaja perlu digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik , memperbesarkan....sepatutnya membesarkan  atau perbesarkan

10. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain aktiviti . Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain.

11. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan secara besar-besaran……


12. Kesilapan penggunaan kata sendi nama di   dan dalamdi kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah, mankala dalam untuk menyatakan sesuatu yang bersifat abstrak.
13. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya … Selain itu,…

14. Kesilapan penggunaan kata sendi nama oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…

15. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.
Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).

16. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.

17. Kesilapan penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. Sepatutnya “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu, sebaliknya hanya berfungsi untuk menguatkan hujah atau kenyataan isi atau ayat sebelumnya.

18. Kesilapan penggunaan ayat pasif bagi kata ganti nama diri pertama dan kedua. Contoh: Tindakan segera harus diambil oleh kita... Sepatutnya Tindakan segera harus kita ambil.

19. Kesilapan penggunakan ayat pasif bagi kata ganti nama diri ketiga. Contoh: Tindakan  drastik harus kerajaan ambil.. Sepatutnya Tindakan drastik harus diambil oleh kerajaan...


20. Masih terdapat pelajar yang tidak dapat membezakan antara kata depan  atau kata sendi nama dan kata kerja. Contoh: diatas, disana, disini . Penulisan kata depan atau kata sendi nama sepatutnya dijarakkan seperti di atas, di sana  , di sini. Sementara itu , kata kerja pula ditulis secara terpisah seperti di gerakkan, di tempatkan... Sepatutnya ditulis serangkai seperti ...digerakkan... ditempatkan.

PENANDA WACANA-Bahagian Keempat

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

• Intihanya,

• Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas

• Konklusinya,

• Dengan ini diharapkan

• Bukan itu sahaja

• Mudah-mudahan perkara ini

• Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa

• Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni, insyallah perkara ini akan …

• Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

PENANDA WACANA-Bahagian Ketiga

• Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

• Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

• Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.

• Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….

• Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

Kaedah Kesinambungan idea


• Bagi sesetengah orang …

• Begitu juga dengan …

• Begitu juga halnya dengan …

• Bertitik tolak daripada itu …

• Bukan itu sahaja …

• Dalam hal ini …

• Dalam konteks ini ..

• Dalam zaman yang serba canggih ini …

• Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …

• Dengan adanya …

• Dengan berbuat demikian …

• Dengan perkataan lain ..

• Disebabkan hal itu

• Disebabkan keistimewaan inilah kita ..

• Hal ini berlaku disebabkan

• Hal ini penting dalam

• Hal ini serupa dengan

• Hal yang serupa berlaku apabila

• Jadi kita perlu

• Jadi kita hendaklah

• Keadaan ini tentunya

• Lantaran itu sehingga kini

• Kesemua ini menyumbang kepada

• Kita mengakui hakikat bahawa

• Kita sering menonton di kaca televisyen

• Kita sering membaca di dada-dada akhbar

• Memandangkan keadaan yang sedemikian

• Secara logiknya masa yang

• Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita

• Keadaan ini seharusnya boleh

• Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini

PENANDA WACANA-Bahagian Pertama

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah, dan
pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap.Seandainya sesuatu wacana karangan berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautanyang lengkap. Contoh penanda wacana mudah  seperti berikut:

1. Tambahan :
    dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping

2. Urutan :
    pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya

3. Penyataan semula:
   iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan

4. Contoh:
  contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai

5. Rumusan:
  rumusannya , kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata

6. Tempat:
  berhampiran dengan, bersebelahan dengan,bertentangan dengan

7. Waktu :
apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya

8. Sebab dan kesan:

oleh itu, sebab itu, justeru , fasal, lantaran, jadi, dengan itu

9. Bandingan:
seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga, dengan

10. Pertentangan :
tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan

11.Pengesahan:
sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah,pastilah, sememangnya

Penggunaan penanda wacana dalam penulisan jika digunakan dengan konteks ayat yang sesuai mampu menghasilkan gaya penulisan yang menarik.

Namun begitu, jika pelajar kurang memahami konsep sesuatu penanda wacana , mungkin ayat yang menggunakan penanda wacana tersebut menjadi tidak gramatis.




Pembinaan Karangan

Karangan

1
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu STPM menyatakan bahawa pelajar perlu menulis karangan yang panjangnya antara 650 hingga 700 patah perkataan.

2
Empat tajuk akan dikemukakan dan calon-calon perlu memilih satu daripada empat tajuk.

3
Sukatan pelajaran memperuntukkan 50 markah untuk karangan.

4
Terdapat empat jenis karangan, iaitu:

i. rencana/perbincangan/pendapat/perbahasan/ulasan/
ii. laporan
iii. ceramah/syarahan/ucapan/pidato
iv memorandum

5
Karangan boleh dibahagikan kepada yang berformat atau tidak berformat. Sama ada ia berformat atau tidak, ia masih mempunyai struktur tertentu. Rumus yang paling umum untuk mencirikan karangan ialah, ia mempunyai pendahuluan, tubuh dan penutup. setiap bahagian itu mempunyai perenggan untuk menyatakan tiap-tiap unit pemikiran.

6.
Apakah yang perlu anda kuasai untuk menghasilkansebuah karya yang baik? Sebagai permulaan, anda perlu faham konsep wacana, laras dan retorik dengan baik, serta mempunyai asas tatabahasa yang mantap.

7.
Sepertimana yang dijelaskan dalam (5) perenggan ialah ``satu kumpulan gagasan (idea) yang didasari oleh satu gagasan utama (idea utama). perenggan merupakan satu unit fikiran yang lengkap.''
Ayat-ayat yang mengandungi idea utama dikenali sebagai ayat topik atau ayat judul. Ayat-ayat lain dalam sebuah perenggan dikenali sebagai ayat sokongan. Ayat-ayat ini  berfungsi menghuraikan, menyokong dan memperteguh idea utama dalam ayat topik.
Ayat Topik
Ayat yang menyatakan idea utama atau gagasan utama secara penyataan pendapat atau penyataan niat.
Ayat-ayat sokongan
Ayat-ayat yang menghuraikan, menyokong, atau memperjelaskan idea utama dalam ayat untuk  menjelaskan sesuatu. Contoh, statistik, atau petikan daripada sumber tertentu.
8.
Struktur karangan 1-6-1
Sebagai sebuah wacana, karangan terdiri daripada tiga bahagian iaitu pendahuluan tubuh karangan, dan penutup. Berasaskan panjang karangan yang dikehendaki oleh sukatan pelajaran, iaitu antara 650 hingga 700 patah perkataan, karangan anda sesuai menggunakan struktur 1-6-1, iaitu satu perenggan untuk pendahuluan, enam perenggan untuk tubuh karangan(Isi), dan satu perenggan penutup.

9.
Teknik yang berkesan untuk menulis karangan di peringkat tingkatan enam ialah menggunakan pendekatan penulisan akhbar, iaitu prinsip Piramid terbalik, atau Piramid songsang.



10
Perenggan pendahuluan mempunyai fungsi tarikan yang penting, yang akan menentukan sama ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak.

11.
Perenggan pendahuluan mesti menggambarkan tajuk karangan yang diberikan untuk anda buat. Ia merupakan gagasan idea yang menjadi inti kepada keseluruhan tubuh karangan anda.

12.
Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana ia berfungsi menyimpulkan buah fikiran dalam satu atau dua perenggan sahaja.

13.
Keutuhan karangan merujuk kepada kebulatan dan kesepaduan karangan. Ia dicirikan oleh sifat-sifat kohesi dan koheren. Kohesi merujuk kepada idea atau isi karangan yang dijalin dengan rapi. Koheren merujuk kepada kesinambungan ayat-ayat atau perenggan-perenggan yang membawa idea-idea yang dipersembahkan.

14.
Beberapa ciri berikut perlu diketahui oleh pelajar dalam proses memantapkan karangan:
i. Diksi - Pemilihan kata yang sesuai dengan tajuk serta laras karangan. Teknik penggunaan medan kata adalah penting. Daripada medan kata itu, anda boleh pula mencatatkan perkataan yang bersinonim, berantagonis dan sebagainya.
ii. Tatabahasa dan ejaan -  berhati-hati dengan tatabahasa kerana banyak markah akan ditolak jika berlaku banyak kesalahan tatabahasa. Tunjukkan kematangan anda berbahasa dengan menggunakan tatabahasa yang betul. Sebagai contoh:  bezakan dari dan daripada, ialah dengan adalah, dan sebagainya

15.
Persediaan mengarang mengandungi empat kemahiran penting, iaitu:
i. memahami soalan
ii. mengumpul idea dengan tajuk
iii. membuat medan kata/beberapa kata kunci
iv. menyusun idea-idea dan membuat rangka karangan

ASPEK PEMARKAHAN

Kerelavanan(R)    - 21  Markah
Pengolahan (P)    - 14  Markah
Bahasa        (B)    - 15  Markah
--------------------------------------
Jumlah                  - 50  Markah

Kerelavanan     merangkumi:                    
Pengenalan     (P)   -  3  Markah                                 
Isi (I)                          - 15 Markah
Kesimpulan(K)        -  3  Markah

Perhatian untuk pengunjung blok saya...

Khusus untuk anak-anak murid cikgu dan sesiapa juga yang mengunjungi blog cikgu ini.

Setelah agak lama menyepi lantaran kesibukan tugas yang lebih penting cikgu akan kembali dengan persembahan bahan-bahan yang baru untuk para pelajar sekalian. Sebelum itu, cikgu ingin memaklumkan bahawa nota-nota yang terdahulu ada beberapa kesilapan teknikal seperti kesilapan   ketika menaip atau ada bahan yang tersilap masuk. InsyaAllah  dari semasa ke semasa cikgu akan baiki beberapa kesilapan yang dapat cikgu kesan. Cikgu berharap pelajar -pelajar juga mestilah rajin meneliti  dan jika ada kesilapan fakta yang cikgu berikan  tanpa sengaja. dapatlah dimaklumkan kepada cikgu untuk cikgu baiki nota atau bahan tersebut. Cikgu juga amat mengalu-ngalukan perkongsian bahan dari para pelajar sekalian. Percayalah ilmu yang kita ada jika dikongsi dengan orang lain ilmu itu  akan menjadi lebih mantap dan berkat. Sesungguhnya ilmuyang kita miliki ibarat sepohon pokok yang semakin dicantas dan dipotong  akan semakin lebat  serta subur daunnya.
Sekian, Selamat melayari laman blog ini.